
TOYOTA melancarkan versi kemas kini Pixis Truck untuk pasaran Jepun. Penambahbaikan untuk model 2026 memfokuskan kepada peningkatan daya tarikan produk melalui pemantapan ciri keselamatan pencegahan dan penambahan kelengkapan standard yang lebih bernilai bagi memudahkan urusan kerja harian pengguna.
Pixis merupakan siri model hasil kerjasama dengan Daihatsu yang turut merangkumi kei-car, van dengan yang terbaru versi EV yang diperkenal pada Februari lalu.
Peningkatan Sistem Keselamatan Pintar di Persimpangan

Antara perubahan paling utama adalah peluasan julat pengesanan sistem Smart Assist yang kini dipasang sebagai ciri standard untuk semua varian.
Sistem ini telah dipertingkatkan keupayaannya untuk berfungsi di kawasan persimpangan jalan. Ia kini mampu mengesan kenderaan dari arah bertentangan yang bergerak lurus semasa pemandu ingin melakukan pusingan ke kanan.
Selain itu, sistem ini juga berupaya mengesan pejalan kaki yang sedang melintas dari arah bertentangan semasa pemandu membelok ke kiri atau ke kanan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di kawasan titik buta.

LED Pack Kini Sebagai Ciri Standard
Toyota turut menaik taraf beberapa kelengkapan daripada LED pack menjadi perkakasan standard.
Ini termasuk lampu hadapan LED yang merangkumi fungsi suluh rendah dan tinggi, fungsi pelarasan automatik, serta LED clearance lamps yang dilengkapi dengan lampu automatik.
Turut disertakan adalah teknologi Adaptive Driving Beam (ADB) yang membantu pencahayaan lebih efisien tanpa menyilaukan pemandu lain serta Side View Lamps untuk penglihatan sisi yang lebih jelas.

Trenkuasa
Pixis Truck dikuasakan enjin KF 660cc 3-silinder sebaris 12-injap DOHC.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 46 ps pada 5,700 rpm dan tork maksimum 60Nm pada 4,000 rpm.
Unit ini dipadankan dengan pilihan transmisi manual 5-kelajuan atau transmisi jenis CVT. Sistem pacuan pula ditawarkan dalam konfigurasi dua roda (2WD) atau empat roda (4WD) jenis separuh masa.
Varian dan Harga
- Extra (4WD 5MT): 1,463,000 Yen (RM36,428)
- Standard Agricultural Special (4WD 5MT): 1,254,000 Yen (RM31,224)
- Standard (4WD CVT): 1,303,500 Yen (RM32,457)
- Standard (2WD CVT): 1,149,500 Yen (RM28,622)
Spesifikasi Teknikal Toyota Pixis Truck
- Dimensi (panjang x lebar x tinggi): 3,395 mm x 1,475 mm x 1,780 mm
- Penumpang: 2 orang
- Jarak roda: 1,900 mm
- Panjang ruang kargo: 1,940 mm
- Lebar ruang kargo: 1,410 mm
- Tinggi kargo: 285 mm
- Tinggi lantai kargo: 660 mm
- Jarak kelegaan tanah: 160 mm
- Radius putaran minimum: 3,6 meter
- Kapasiti muatan maksimum: 350 kg
- Kapasiti tangki bahan api: 34 liter
- Saiz tayar hadapan dan belakang: 145R12 6PR LT
- Sistem brek hadapan: cakera
- Sistem brek belakang: Leading-trailing
- Suspensi hadapan: MacPherson strut dengan spring gegelung
- Suspensi belakang: Rigid axle dengan spring daun
- Berat kosong: 780 kg hingga 850 kg














