
PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) menafikan sebarang penglibatan dalam cadangan pembekalan bahan api kepada kerajaan tempatan di selatan Filipina seperti dilaporkan sebelum ini.
Dalam kenyataan rasmi, Petronas memaklumkan pihaknya tidak mengetahui mengenai cadangan tersebut dan tidak menandatangani sebarang perjanjian atau komitmen berkaitan.
Fokus Kekal Bekalan Domestik
Menurut Petronas, keutamaan utama syarikat adalah memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan untuk Malaysia.
Kami kekal fokus menyediakan bekalan yang boleh dipercayai untuk keperluan domestik, disokong rangkaian bekalan kukuh serta kerjasama rapat dengan kerajaan,” jelas syarikat itu.
Cadangan Dari Filipina
Terdahulu, kerajaan wilayah Davao del Norte dilaporkan merancang untuk membeli 44 juta liter minyak mentah dan petrol dari Malaysia bagi mengekang kenaikan harga bahan api.
Perbincangan awal dikatakan melibatkan pihak di Negeri Sembilan dengan jangkaan bekalan melalui Petronas, namun perkara itu tidak disahkan syarikat minyak nasional tersebut.
Krisis Bahan Api Di Filipina
Cadangan itu timbul ketika Filipina berdepan krisis tenaga susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Asia Barat.
Negara itu dilaporkan mengisytiharkan darurat tenaga dengan rizab bahan api hanya mencukupi sekitar 40 hingga 45 hari, selain lebih 400 stesen minyak terpaksa menghentikan operasi.
SUMBER: SinarHarian







