
PETRON Malaysia Refining & Marketing Bhd (PMRMB) menamatkan tahun kewangan 2025 dengan keuntungan bersih sebanyak RM246 juta, melonjak ketara berbanding RM18 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh itu didorong hasil pengeluaran lebih baik di Loji Penapisan Port Dickson menerusi pengoptimuman proses dan kadar penggunaan loji yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan syarikat memanfaatkan kos pengeluaran serta pembekalan yang lebih rendah.
Jumlah jualan tahunan meningkat kepada 36.2 juta tong berbanding tahun sebelumnya, namun pendapatan merosot 15 peratus kepada RM13.4 bilion susulan harga pasaran minyak mentah global yang lebih rendah.
Keuntungan Kasar Lebih Dua Kali Ganda
Penanda aras Dated Brent susut 15 peratus atau AS$12 setong kepada AS$69 setong akibat peningkatan bekalan global dan permintaan lemah dalam suasana ketegangan geopolitik berterusan.
Walaupun pendapatan menurun, keuntungan kasar meningkat lebih dua kali ganda kepada RM571 juta berbanding RM274 juta pada 2024. Pendapatan operasi pula melonjak kepada RM350 juta daripada RM60 juta tahun sebelumnya.
Bagi suku keempat 2025, PMRMB menjual 8.6 juta tong, meningkat 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Syarikat mencatat keuntungan bersih RM44 juta berbanding kerugian bersih RM70 juta pada suku keempat 2024.
Insiden Jeti Port Dickson
Pada 28 November 2025, jeti produk Loji Penapisan Port Dickson runtuh akibat Ribut Tropika Senyar. Syarikat mengisytiharkan force majeure dan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan bagi memastikan bekalan petrol, diesel serta Gasul LPG kekal stabil.
Kerja pembersihan runtuhan sedang dijalankan dan syarikat dalam proses mendapatkan bidaan bagi pembinaan jeti gantian. Memandangkan insiden berlaku pada penghujung tahun, impaknya terhadap prestasi kewangan 2025 adalah minimum.
Pengerusi PMRMB, Ramon S. Ang berkata, kejayaan itu dicapai hasil kecekapan operasi, penambahbaikan proses dan pengurusan risiko yang berhemat dalam pasaran minyak yang tidak menentu.




