
PERBELANJAAN subsidi diesel negara mencatat penurunan ketara kepada RM6.2 bilion pada 2025 berbanding RM10.1 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus menjimatkan kira-kira RM4 bilion.
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan penjimatan itu dicapai hasil pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel di Semenanjung Malaysia menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) yang dilaksanakan bermula 10 Jun 2024 hingga 31 Disember 2025.
Langkah tersebut turut membantu mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan sektor perniagaan yang tidak layak.
Pembelian Diesel Turun Ketara
Menurut MOF, pelaksanaan sistem berkenaan menyebabkan pembelian diesel runcit di stesen minyak menurun kepada empat bilion liter pada 2025 berbanding tujuh bilion liter pada 2024.
MOF menjelaskan penjimatan yang diperoleh akan dipulangkan semula kepada golongan memerlukan serta digunakan bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan jaringan perlindungan sosial.
Dana Diguna Untuk Bantuan Rakyat
Antara program yang menerima manfaat daripada penjimatan tersebut termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang melibatkan peruntukan hampir RM800 juta.
Selain itu, lebih 141,000 syarikat melibatkan kira-kira 368,000 kenderaan sudah menerima manfaat daripada Program MySubsidi Diesel melalui SKDS sejak Jun 2024 hingga Januari 2026.
Bagi bantuan tunai di bawah program BUDI Individu dan BUDI Agrikomoditi pula, seramai 344,817 penerima sudah menerima agihan berjumlah RM1.05 bilion.
Kerajaan turut mengekalkan harga diesel bersubsidi bagi sektor logistik dan pengangkutan awam bagi memastikan kos rantaian bekalan kekal stabil serta mengelakkan kenaikan harga barangan kepada pengguna.
SUMBER: AstroAwani







