
BEBERAPA jalan utama di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur akan ditutup sementara pada 1 dan 3 Januari bagi memberi laluan kepada penganjuran festival ‘I Lite U’, yang merupakan acara pembukaan rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Penutupan Jalan Sempena Tahun Baharu
Seperti kebiasaan, Jalan Bukit Bintang akan ditutup sepenuhnya sempena sambutan Ambang Tahun Baharu, bermula jam 5 petang pada 31 Disember 2025 sehingga 2 pagi, 1 Januari 2026.

Bagi sesi raptai festival ‘I Lite U’, jalan yang sama akan ditutup mulai 6 petang pada 1 Januari sehingga raptai selesai. Seterusnya, penutupan terakhir akan dilaksanakan pada 3 Januari dari jam 7.30 malam hingga 10 malam bagi penganjuran acara sebenar.
Perarakan Budaya Sepanjang Jalan Bukit Bintang
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, festival tersebut merangkumi dua komponen utama.

“Acara ini melibatkan majlis pembukaan yang diadakan di dalam Pavilion Kuala Lumpur serta majlis pelancaran yang menampilkan perarakan kebudayaan sepanjang Jalan Bukit Bintang,” katanya.
Beliau memaklumkan seramai 20 kontinjen, termasuk tujuh pancaragam, akan menyertai perarakan sejauh 900 meter, bermula dari Pavilion Kuala Lumpur hingga ke Hotel Federal, melibatkan persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
Laluan Terlibat dan Pengurusan Trafik

Menurut Mohd Zamzuri, pengurusan Pavilion bersama pihak penganjur akan menyediakan pelekat parkir khas untuk kenderaan VIP dan VVIP, manakala penutupan jalan akan diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
DBKL dalam satu hantaran Facebook memaklumkan bahawa penutupan jalan sempena festival ‘I Lite U’ akan melibatkan:
- 1 Januari: Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail dari 6 petang hingga 11 malam
- 3 Januari: Laluan sama dari 6 petang hingga 12 tengah malam
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penganjuran acara.
SUMBER: BERNAMA
Leave a Reply