ISU pemanduan di bawah pengaruh alkohol sekali lagi mencetuskan kemarahan ramai apabila satu kemalangan maut berlaku di Jalan Raya Barat, Klang, Ahad lalu.
Dalam insiden kira-kira jam 11.40 pagi itu, seorang penunggang motosikal maut, Amirul Hafiz Omar selepas dirempuh kenderaan dipandu suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta.
Insiden tersebut terus mencetuskan gelombang desakan supaya hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pesalah pemandu mabuk, termasuk cadangan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tindakan memandu dalam keadaan mabuk sebagai perbuatan yang boleh dianggap mempunyai niat membunuh.
Apabila seseorang sedar dia mabuk tetapi masih memilih untuk memandu, undang-undang perlu melihatnya sebagai satu bentuk niat membunuh,” katanya.
Pandangan itu turut disokong Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mencadangkan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh berkata, hukuman lebih menyeluruh termasuk pampasan wajib kepada keluarga mangsa. Menurutnya, jika pesalah gagal membayar, mekanisme liabiliti alternatif, termasuk penglibatan keluarga, wajar dipertimbang.
Beliau turut mengusulkan penubuhan skim kebajikan kematian berpusat yang wajib disertai semua pemegang lesen memandu bagi memastikan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu menggesa hukuman maksimum, termasuk penjara dan sebatan dikenakan terhadap pelaku.
Direman 4 Hari
Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, perintah reman terhadap suspek dibenarkan Majistret Siti Zubaidah Mahat.
“Tempoh reman bermula hari ini hingga 2 April bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu Lama, Tapi Makin Membimbangkan
Kes pemandu mabuk bukan isu baharu di Malaysia, tetapi trend kemalangan maut yang berulang menunjukkan pendekatan sedia ada masih belum cukup berkesan.
Apa yang jelas, tekanan daripada masyarakat dan pemimpin politik kini semakin kuat yang bukan sekadar mahu hukuman berat, tetapi juga sistem yang lebih menyeluruh melibatkan pencegahan, pendidikan dan tanggungjawab sosial.
Tiada isitilah “minum sikit je”, sebab realitinya, tersilap langkah, nyawa orang lain melayang. Dan itu, bukan lagi sekadar kesalahan trafik. tetapi sudah dah jadi isu keselamatan awam.
SUMBER: TheStar | FOTO: Sinar Harian, Astro Awani













