VOLVO Car Thailand (VCT) memanggil balik 1,668 unit Volvo EX30 di negara itu berikutan risiko panas lampau (overheating) pada pek bateri.
Pengumuman itu adalah sebahagian daripada lebih 40,000 unit Volvo EX30 global yang terpaksa dipanggil balik disebabkan masalah sama.
Menurut VCT, langkah tersebut diambil sebagai tindakan bertanggungjawab bagi menangani potensi isu keselamatan berkaitan bateri yang dikilangkan di China.
Pemilik Diminta Hadkan Cas 70 Peratus Sementara Waktu

Pengarah Urusan Volvo Thailand dan Malaysia, Chris Wailes berkata, pelanggan sudah dimaklumkan melalui e-mel dan aplikasi Line.
Sebagai langkah pencegahan sementara, pemilik disarankan:
- Mengehadkan pengecasan sehingga 70 peratus kapasiti bateri
- Menunggu arahan lanjut mengenai penukaran pek bateri
Volvo turut memaklumkan, pek bateri baharu sedang dihasilkan untuk menggantikan unit berisiko, tetapi tempoh masa penggantian tidak dinyatakan secara terperinci.
Model terjejas ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Volvo EX30, yang mana dipasang bateri dipadang dari fasiliti Volvo di China.
Impak Global – Australia, Brazil dan AS Turut Terlibat
Selain Thailand, panggilan balik Volvo EX30 turut melibatkan pasaran lain seperti Australia, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).
Sebagai rekod, Volvo Cars yang beribu pejabat di Gothenburg, Sweden, kini dimiliki konglomerat China, Zhejiang Geely Holding Group.
Cabaran Pasaran Thailand, Unjuran 2026
Pada masa sama, Volvo mengakui industri automotif Thailand berdepan tekanan akibat:
- Hutang isi rumah tinggi
- Pertumbuhan ekonomi perlahan
- Kuasa beli lemah
- Persaingan sengit
Volvo menjangka pasaran kekal mendatar bagi separuh pertama 2026, sebelum berpotensi pulih susulan langkah rangsangan ekonomi Kerajaan baharu.
Juster syarikat menyasarkan:
- Pertumbuhan 4 peratus jualan kereta baharu
- Kenaikan 5 peratus jualan kereta terpakai menerusi program Volvo Selekt
Prestasi, Perkembangan Model Lain
Walaupun segmen kenderaan premium enjin pembakaran dalaman (ICE) menyusut sekitar 10 peratus tahun lalu, Volvo mengekalkan 9 peratus pegangan pasaran.
Pada 2025 pula, Volvo menguasai sekitar 20 peratus segmen elektrik bateri (BEV), sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama dalam mobiliti elektrik premium.
Baru-baru ini juga, Volvo menawarkan naik taraf komputer teras percuma untuk pemilik Volvo EX90, dan merancang memperkenalkan lebih banyak sub-varian model tersebut.
Panggilan balik Volvo EX30 memberi sedikit tekanan kepada imej Volvo dalam segmen EV, tetapi pendekatan proaktif dan penukaran bateri sepenuhnya menunjukkan komitmen berterusan jenama itu terhadap keselamatan dan kualiti.
Bagi pasaran Malaysia, tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini, tetapi memandangkan operasi rantau dikendalikan pengurusan sama, perkembangan lanjut dijangka akan diumumkan jika terdapat unit terlibat.













