Close Menu
PanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
Facebook Instagram YouTube TikTok Threads
  • UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
PanduLaju.com.myPanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
PanduLaju.com.my
Home»Pandu Uji»#PanduUji: Chevrolet Colorado 2016 – Trak Pikap Premium untuk Cita Rasa Premium
Pandu Uji

#PanduUji: Chevrolet Colorado 2016 – Trak Pikap Premium untuk Cita Rasa Premium

Han OthmanBy Han Othman29/10/20162 Comments
Facebook Twitter Telegram Threads
Share
Facebook Twitter Telegram Threads


CHEVROLET Colorado 2016 nampaknya bersungguh-sungguh mahu membuatkan peminat trak pikap Malaysia rambang mata. Siapa sangka pasaran trak pikap yang dulu hanya didominasi jenama tertentu kini sudah jadi semakin terbuka dan kompetitif.

Apakah Chevrolet Colorado 2016 layak mencabar pesaing lain? Mungkinkah ciri istimewa yang ditampilkan mampu menjadi penanda aras baharu kelas trak pikap di negara ini? Apa kata kita baca dulu reviu pandu uji di bawah.

LUARAN

Berbanding desain kereta penumpang yang lebih bebas dan terbuka untuk bereksperimen dengan pelbagai konsep rekabentuk, trak pikap adalah sebaliknya. Ia lebih konservatif disebabkan kekangan casis kenderaan itu sendiri yang didatangkan dengan ruang kargo terbuka dan tren kuasa berbeza.

Tidak hairanlah kebanyakan pengeluar lebih menumpukan kepada rekaan hadapan produk trak pikap bagi menampilkan kelainan sesama mereka. Walaupun bukan peminat trak pikap tegar, saya harus mengaku desain Chevrolet Colorado 2016 memang trendy dan menepati cita rasa masa kini. Rekaan depan menyerlahkan imej sebuah trak pikap kontemporari yang dikuatkan dengan elemen maskulin.

Lihatlah imej Amerika terpancar kuat menerusi penampilan gril dua lapis yang dilatari kemasan krom, termasuk pelindung bampar aerodinamik. Sudut bersegi dapat dilihat di mana-mana sama ada di bahagian bampar atau bonet. Walaupun rekaan Chevrolet Colorado 2016 ini agak sofistikated dan ‘berat’, tetapi apabila sudah berkali-kali melihatnya, sedap pula mata memandang. Lampu utama runcing, lampu kabus bulat dan bucu gril bujur banyak membantu melembutkan rupa maskulin trak pikap ini.

Rupa sisi tampil konvensional seperti trak pikap lain, ringkas dan sederhana. Rel bumbung siap dipasang, manakala rollbar belakang dengan lambang ‘High Country’ memberikan personaliti tersendiri. Pilihan warna saya semestinya selain putih kerana dapat menyerlahkan kontras kemasan krom di sekeliling badan seperti bampar depan dan belakang, cermin sisi, hendal pintu, hendal pintu kargo dan rim sport.

DALAMAN

Ruang dalaman datang dengan tema gelap yang diserikan sedikit kemasan krom pada pelaras ventilator penyaman udara, tombol gear dan bingkai penyaman udara di unit utama papan pemuka. Rekabentuk papan pemuka berbentuk kubikel yang bersegi-segi.

Instrumen pada panel utama agak variasi antara campuran bentuk antara bulat dan petak, dan horizontal dan vertikal. Ada beberapa ruang longgar dan berjarak yang sepatutnya dikompakkan. Mungkin kerana saiz panel utama terlampau besar atau pemilihan set infotainment yang sedikit kecil.

Apapun komposisi rekaan disusun baik dan berima, di mana paparan infotainment dan set kawalan audio diposisikan paling atas, dituruti kawalan penyaman udara dan punat tetapan ciri kenderaan.  Rekabentuk stereng balutan kulit tampak kemas dan cantik. Pemilihan material kulit untuk kemasan stereng, trim pintu dan tempat duduk agak flat dan mendatar, jika bertekstur mungkin lebih menyerlahkan ciri eksklusif.

Desain meter direka menarik dengan mengasingkan jarum takat minyak dan suhu dalam kluster berasingan. Tujuannya adalah memudahkan fokus pemanduan dan bacaan maklumat kenderaan supaya mata tidaklah meliar tidak tentu hala. Sekarang anda mungkin jelas tentang bagaimana rekaan semudah mengasingkan kluster mampu memberikan impak ke atas kecekapan pemanduan kita.

Konsol gear membariskan perehat lengan, punat kawalan pacuan dan pemegang cawan, secukup apa yang diperlukan kereta moden hari ini. Keluasan kabin rasanya tidak perlu diulas lagi melainkan badan anda bersaiz gergasi. Sebuah trak pikap sememangnya menawarkan ruang dalaman luas dan jarang memberikan banyak masalah. Tempat duduk belakang juga selesa.

ATAS JALAN

Apa lagi didambakan daripada sebuah trak pikap jika bukan enjin tork tinggi yang sering kali dikaitkan dengan kekuatan tundaan dan keupayaan melakukan kerja-kerja berat. Terima kasih kepada enjin empat silinder 2.8L Duramax Turbo-Diesel (VGT) yang ditala khas untuk prestasi enjin lebih baik dan menjimatkan. Hasilnya, trak pikap ini mampu menjana kuasa kuda setinggi 193hp pada 3,600rpm dan tork 500Nm serendah 2,000rpm.

Sebagai makluman, selain versi 2.8L yang sedang saya reviu ini, Chevrolet Colorado 2016 turut menampilkan dua versi enjin lebih rendah, iaitu 2.5L FGT (163hp) dan 2.5L VGT (180hp). Persamaan kedua-dua jenis enjin bersesaran berbeza itu ialah setiap kuasa dan tork dapat dicapai pada putaran enjin yang sama, iaitu 3,600rpm (hp) dan 2,000 rpm (tork).

Kita berbalik kepada fiil pemanduan. Apakah Chevrolet Colorado 2016 boleh dibawa masuk dalam senarai pilihan trak pikap pilihan anda? Jika anda sukakan jenis trak pikap yang buas dan agresif, lupakan Chevrolet Colorado 2016 kerana ia tidak sesuai buat anda. Karakter jentera pacuan empat roda ini tidak begitu.

Setiap kali pedal diinjak rapat, proses anjakan transmisi berlangsung dengan lancar dan lembut, atau dalam bahasa slanga, perginya tidak mencecet. Jika mahu dibandingkan dengan kelas kereta, Chevrolet Colorado 2016 bolehlah diibaratkan kereta segmen-D yang tidak perlu tergesa-gesa dan mengamuk tidak tentu hala.

Namun, jangan pula anggap Chevrolet Colorado 2016 tidak berkuasa. Jika membaca spesifikasi diberikan, trak pikap ini memberikan daya tork paling tinggi berbanding pesaing lain pada putaran enjin rendah. Malah, kapasiti tundaan juga lebih superior dengan keupayan menarik beban seberat 3,500kg! Bukankah itu perkara nombor satu yang biasa diperhatikan peminat trak pikap? Jadi, tidak perlu bimbang jika mahu lakukan tugasan tipikal seperti trak pikap lain. Segalanya bisa diatur!

Tiada masalah memandu melebihi had laju kebangsaan (sila bersedia menerima saman). Kelajuan 140kmj masih tenang, terkawal dan bersahaja. Sistem suspensi bekerja dengan baik dan tidaklah terlalu membuai-buai. Sesekali tidak perasan kereta sudah terlajak 160kmj. Itupun sebab terdengar bunyi angin menampar cermin depan.

FITUR PREMIUM

Inilah sebab kenapa Chevrolet Colorado 2016 berada dalam kelas tersendiri sebagai trak pikap premium. Pertama, anda dihidangkan sistem infotainment Chevrolet Mylink dengan aplikasi Apple CarPlay berserta sambungan Bluetooth. Kedua, padanan sistem bunyi dengan tujuh pembesar suara berkualiti premium mampu membuatkan anda terasa seperti berseronok di dalam sebuah sedan mewah.

Ketiga, anda boleh hidupkan enjin kereta dengan menggunakan punat kawalan kunci. Setahu saya, inilah satu-satunya trak pikap di Malaysia yang menyediakan ciri tersebut. Sekarang, anda boleh hidupkan enjin dan pasangkan penyaman udara terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam kereta. Memang sesuai sangat dengan situasi cuaca panas negara ini.

Lagi? Anda turut diberikan fungsi Amaran Menukar Lorong atau Lane Departure Warning untuk banyak membantu anda memotong kenderaan hadapan. Sementara itu, tekanan tayar dipantau rapi Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS). Lebih menambahkan keyakinan pemanduan ialah penarafan 5 bintang dalam ujian perlanggaran Asean NCAP. Puas hati sekarang?

KESIMPULAN

Saya akan masukkan Chevrolet Colorado 2016 sebagai trak pikap gaya hidup berdasarkan ciri mewah yang ditampilkan. Selain segak dipandang mata dari segenap segi, trak pikap ini turut seronok dipandu ke mana-mana. Anda boleh meredah laluan off-road dan anda juga boleh jadikan ia kenderaan harian.

Inilah trak pikap premium untuk mereka yang bercita rasa premium. Jika anda orang itu, pilihlah Chevrolet Colorado 2016!

SPESIFIKASI

CHEVROLET COLORADO VGT HIGH COUNTRY
ENJIN 2.8L DUramax Turbo Diesel, 16V Sebaris DOHC
TRANSMISI Automatik 6-Kelajuan
KUASA 193hp@3,600rpm
TORK 500Nm@2,000rpm
CIRI 2 beg udara + 1 beg udara lutut, Kawalan Traksi (TRC), Program Stabiliti Elektronik (ESP), ABS, Agihan Brek Elektronik (EBD), Sistem Kawalan Turun Bukit (HDCS), Bantuan Mula Daki (HSA), Kawalan Brek Belokan (CBC), Bantuan Brek Hidraulik (HBA), dan Bantuan Brek Panik (PBA)
HARGA RM133,127.48

HARGA VARIAN LAIN

2.5 liter FGT Standard LT (MT) RM99,911.28
2.5 liter VGT Standard LT (AT) RM107,948.20
2.5 liter VGT Standard LTZ (AT) RM115,031.12
2.8 liter VGT Standard LTZ (AT) RM124,916.00

GALERI

chevrolet colorado
chevrolet colorado
chevrolet colorado
chevrolet colorado
chevrolet colorado
chevrolet colorado
chevrolet colorado
Chevrolet Chevrolet Colorado 2016 Chevrolet Colorado High Country Chevrolet Colorado Malaysia Pandu uji Roda4
Han Othman
  • Website

Kecederaan distal radius fracture memaksa dia menguburkan hasrat berlumba dalam litar GP antarabangsa. Amat mementingkan pemanduan berkeselamatan tinggi, sukakan roller coaster, gemar mendengar muzik jalanan dan selalu membantu ular sawa melintas jalan.

Artikel Berkaitan

HEV

Lotus Eletre X Guna Teknologi Hibrid Berkuasa 952ps, dan Tork 935Nm

07/03/2026
Chery Malaysia sambut Aidikfitri dengan rebat sehingga RM18,888
Auto Terkini

Chery Malaysia Sambut Aidilfitri dengan Rebat Sehingga RM18,888

06/03/2026
Mitsubishi Triton Championship Edition 2026
Trak dan Lori

Mitsubishi Triton ‘Championship Edition’ 2026 Diperkenal, Harga Mula RM155.9k!

06/03/2026
BYD Raya Fiesta 2026
Auto Terkini

BYD Raya Fiesta 2026 Tawar Rebat Hingga RM18,000, Duit Raya RM2,000

06/03/2026

2 Comments

  1. Rahmat on 29/10/2016 12:51

    Bang Nin, Colorado ni 3 airbag.. 1 lg kt driver knee airbag.. Thx bang..

    Reply
    • AO on 29/10/2016 23:35

      Ya, sudah masuk dalam artikel. Terima kasih. 🙂

      Reply
Leave A Reply Cancel Reply

  • Facebook 397K
  • Instagram 194K
  • YouTube 589K
  • TikTok 992K
  • Threads
Pilihan Ramai Minggu Ini
Aveta Bellagio 125
Roda2

Aveta Bellagio 125 Rasmi Lancar di Malaysia, Harga RM6,998!

By Syafie05/03/2026
Aveta Viper 180
Roda2

Aveta Viper 180 Rasmi Lancar di Malaysia, Harga RM8,998!

By Syafie05/03/2026
Hakim Danish raih tempat ke-18 di GP Thailand 2026
Moto3

#Moto3: Hakim Danish Tunjuk Taring Walaupun Belum Raih Mata

By Shazwan Hisam02/03/2026
Aerotrain KLIA
Auto Terkini

MAHB Kenakan Penalti RM9.1 Juta kepada Kontraktor Projek Aerotrain KLIA

By Syafie01/03/2026
Hp vs Tork | James Watt
0
Autotainment

#TahukahAnda: Kuasa Kuda vs Tork, Apakah Perbezaan dan Kenapa Penting?

By Han Othman23/02/2026
KTMB tambah tren untuk balik raya Aidilfitri 2026
Auto Terkini

KTMB Tambah 26 Tren Khas Raya 2026, Lebih 8,000 Tempat Duduk Sehari

By Shazwan Hisam03/03/2026
Mitsubishi Triton Championship Edition 2026
Trak dan Lori

Mitsubishi Triton ‘Championship Edition’ 2026 Diperkenal, Harga Mula RM155.9k!

By Syafie06/03/2026
CFMoto Papio Racer 2026
Roda2

‘Fun Bike’ 126cc Gaya Lumba, CFMoto Papio Racer 2026 Tiba di Malaysia!

By Shazwan Hisam06/03/2026
PanduLaju.com.my
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
© 2026 PanduLaju.com.my · GYL Media Services Sdn Bhd (1257406-V)

Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.