LAMA juga saya simpan artikel pandu uji BMW 630i GT ini sampai kena cuba ingatkan semula pengalaman dan feeling memandu fastback ini. Tetapi kenangan manis bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan begitu saja. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan saat-saat berkelana sepanjang lebuh raya sambil ditemani alunan muzik daripada sistem bunyi Harman Kardon.
GT bermaksud 'Grand Turismo', merujuk kepada jenis kereta yang menggabungkan ciri keselesaan dan keluasan limosin, praktikaliti kenderaan utiliti sukan (SUV) dan prestasi enjin seperti kereta sport. Pendek kata model 6 Series ini memamg serba guna, bukan saja sebagai teman memandu sendirian, tetapi juga ketika pergi bercuti jauh bersama keluarga.
BACA>>>12 Fakta Pantas Perlu Anda Tahu Mengenai BMW 6 Series Gran Turismo - Harga RM450k
Cuma biasalah, dalam manis tentu ada pahitnya. Sama seperti teringatkan bekas kekasih lama antara benci dan suka. Begitu juga 630i GT ini. Tidak semua orang sukakan sedan bentuk fastback. Secara peribadi, saya menganggap bentuk GT lebih mengetengahkan fungsi berbanding estetika. Jadi ia tidak dapat memenuhi selera semua peminat BMW.
TIDAK SEMUA SUKA DENGAN BENTUK TUBUHNYA
Cita rasa orang memang berbeza. Ada suka saiz yang gempal, kurus, tinggi atau rendah. Maksud saya, tidak semestinya bentuk sosok badan manusia saja. Jika dikaitkan dengan 630i GT, mungkin bentuk belakang yang lebih tinggi bukan pilihan ramai berbanding bentuk sedan konservatif. Sebab itulah model sedan lebih laku berbanding hatchback di Malaysia.
Namun pada pandangan saya, 630i GT tetap elegan walaupun bentuknya mungkin nampak kekok bagi sesetengah orang dengan bumbung tinggi, belakang landai dan muncung rendah.
Imej coupe jelas dapat dilihat pada sisi badan dan tingkap tanpa frem untuk pintu depan dan belakang. Ciri paling menarik ialah spoiler belakang aktif yang dinaikkan automatik jika memecut lebih 110kmj. Anda juga boleh mengawal spoiler tersebut menerusi punat khas di konsol tengah.
BACA >>> Mercedes-Benz GLB - SUV Kompak Mewah yang Direka untuk Saingi Trend Global
BONUS: RUANG LAPANG
Masuk ke kabin, penumpang dimanjakan dengan ruang kabin lapang. Ruang kaki belakang patut dijempulkan ibu jari tanda bagus. Bagi mereka yang bertubuh rendah (macam saya), ruang kaki ditawarkan memang cukup luas buat penumpang belakang sampai boleh melunjur malas!
Kulit Dakota coklat yang membalut kerusi membuatkan kabin nampak luas. Cuma kelemahannya, kotoran lebih mudah kelihatan dan pemilik perlu sedikit cerewet dalam hal menjaga kabin. Mungkin anda boleh pilih kemasan hitam untuk kabin.
Aura kabin diserlahkan menerusi stereng M Sport, papan pemuka kulit Sensatec dan material kayu dengan krom mutiara berkilat. Di belakang kerusi depan juga tersemat dua skrin untuk kawalan hiburan penumpang belakang. Ciri dalam kabin dilengkapkan Sistem iDrive dengan Touch Controller di konsol tengah dan Paparan Kawalan yang kini hadir dengan skrin sentuh ‘freestanding’.
Tidak ketinggalan, operasi kawalan lebih mudah menerusi arahan suara dan Kawalan Gestur BMW. Ada beberapa gestur tangan yang anda boleh buat seperti gerakkan jari telunjuk dalam paten membulat untuk volum audio atau tunjukkan dua jari ke depan skrin 10.2 inci untuk tukar muzik.
Jika anda buat kawalan gestur dalam situasi trafik padat, mungkin kereta sebelah akan fikir anda sedang main osom atau sedang stres. Cuma kadangkala perlukan 2-3 kali mencuba sebelum sistem dapat mengesan. Tetapi, cara paling mudah adalah capai saja tombol kawalan audio pada konsol tengah atau stereng. Kan senang!
Oh, tidak lupa, anda akan nampak lencana GT pada bahagian tepi pintu dengan kemasan krom, cas telefon wayarles pada konsol tengah, bumbung panorama, tirai pelindung matahari di cermin pintu belakang dan pelbagai lagi.
Ada juga banyak ruang simpanan disediakan, hampir di setiap tempat bermula tepi pintu, konsol tengah hingga papan pemuka. Ruang but juga cukup luas untuk memuatkan barang empat penumpang pada satu-satu masa.
BACA>>>10 Fakta Pantas: BMW Z4 sDrive30i M Sport Kini di Malaysia, Harga RM480k
630i GT UNTUK ROAD TRIP
Sebagai tipikal model Gran Turismo, 630i GT memang dibangunkan untuk pemanduan jauh tanpa penat dengan kualiti pengendalian mengagumkan. Pemanduan fastback ini sangat halus, lancar dan senyap, manakala sistem suspensi cukup empuk. Boleh dikatakan dua kali ganda selesa berbanding 5 Series!
Talaan suspensi boleh dikeraskan dengan ciri mod Sport, tetapi bagi saya cukup saja mod Comfort untuk pengendalian sederhana dan tetapan suspensi sederhana. Santai-santai je bro... Selain dua mod itu, ada juga mod Eco dan Adaptive.
Padanan suspensi udara dwigandar membolehkan ketinggian kereta dilaraskan manual, manakala jarak kelegaan tanah boleh dinaikkan 20mm menerusi kawalan punat. Ia juga boleh direndahkan 10mm secara manual atau automatik apabila mod Sport diaktifkan. Memang teruja beb!
Saya suka juga dengan mod Adaptive, yang berfungsi membaca situasi depan dan melaraskan transmisi mengikut keperluan pemanduan. Semua ciri mod pemanduan ditawarkan itu membuatkan perjalanan saya yang sejauh dua jam jadi tidak memenatkan.
Kerusi sport mendakap kemas bahagian belakang badan dan peha dengan selesa, begitu juga penyandar kepala yang lembut. Jarak pandangan depan dan tepi juga luas, cukup menyenangkan ketika memandu jauh. Sesuai dengan status model ini sebagai kereta pengembara.
Pemanduan malam dimudahkan dengan lampu LED adaptif dan ciri Bantuan Suluh Tinggi (AHB). Enjin 2.0L TwinPower Turbo berkuasa 258hp dan tork 400Nm dengan transmisi Steptronic 8-kelajuan memberikan prestasi kuasa yang sangat impresif.
Enjin cukup bertenaga dengan pecutan mantap dan ini sepatutnya tidak perlu dibahaskan lagi. Tekan saja pedal minyak, langsung berdesup pergi jauh ke depan. Cuma, radius pusingan kurang cukup. Jadi berhati-hatilah kalau hendak buat u-turn di lampu isyarat. Silap haribulan tak lepas.
Cermin belakang kecil mengehadkan pandangan. Entah kenapa saya rasakan sistem stereng kuasa elektronik (EPS) kereta ini mengurangkan fiil tayar atas jalan. Semacam ringan sangat. Mungkin bila aktifkan mod Sport akan buatkan stereng sedikit berat. Namun, apa yang saya rasa sepanjang memandu 630i GT ini, memang tiada.
Ini sudah tentu berita kurang baik buat mereka yang mendambakan fiil sporty dan fun to drive menerusi respon tayar atas jalan. Ya, kilasan stereng terasa palsu! Atau mungkin juga saya sendiri yang bermasalah.
Ini kerana sebelum memandu uji 630i GT ini, rata-rata reviu yang ditulis mengenai fastback ini menyebut pasal pengendalian menyeronokkan. I rest my case!
BACA>>>BMW X5 dan X2 dengan ciri xDrive, M Performance Jengah Pasaran Malaysia Tahun Ini
KESIMPULAN
Kembali semula kepada 'feeling', setiap orang ada pandangan dan rasa berbeza. Jika semua pe'elnya sama, bosan juga hidup dalam dunia ini. Sama juga ketika memandu kereta ini yang fiil-nya tidak sama seperti pemandu uji lain. Tepuk dada tanya selera.
Apa yang boleh saya kata, keselesaan 630i GT menyamai profil sebuah 7 Series, manakala praktikaliti lebih hampir kepada SUV X5, dan kualiti pengendalian mirip 5 Series.
Pakej yang menarikkan? Apa yang tinggal adalah sama ada anda suka atau tidak bentuk gaya fastback ini? Kalau saya, bukan masalah besar pun asalkan dapat prestasi enjin dan tahap pengendalian terbaik. Cuma masalah paling besar, saya masih belum tergamak keluarkan RM430,800 untuk dapatkan BMW 630i GT ini.
Leave a Reply