
PERLUMBAAN pembuka tirai GP Thailand 2026 menyaksikan aksi dominan Marco Bezzecchi bersama Aprilia Racing, manakala Marc Marquez berdepan detik mencemaskan selepas tayar belakang jentera Ducati Lenovo miliknya mengalami kegagalan hujung perlumbaan.
Bezzecchi yang memulakan perlumbaan dari petak utama tidak lagi menoleh ke belakang apabila melakukan holeshot sebaik saja lampu padam.
Selepas kekecewaan terjatuh ketika mendahului perlumbaan sprint pada Sabtu, pelumba Itali itu tampil jauh lebih kemas pada Ahad dengan mengawal penuh perlumbaan 26 pusingan.
Aprilia Kuasai Kelompok Depan
Pedro Acosta menghadiahkan kedudukan kedua buat Red Bull KTM Factory Racing dan pada masa sama merampas kedudukan pendahulu kejuaraan dunia selepas pusingan Thailand.
Raul Fernandez dari pasukan Trackhouse Aprilia melengkapkan podium walaupun prestasi sedikit merosot di penghujung perlumbaan. Jorge Martin (Aprilia Racing) dan Ai Ogura (Trackhouse Aprilia) pula memastikan empat jentera RS-GP berada dalam kelompok lima teratas, iaitu pencapaian besar buat Aprilia.
Sebaliknya, Ducati berdepan hujung minggu sukar berikutan 88 perlumbaan berturut-turut menaiki podium akhirnya terhenti.
Detik Cemas Marquez
Walaupun tidak sepantas kelompok depan, Marquez dilihat berpotensi memburu kedudukan podium sebelum insiden dramatik berlaku pada pusingan ke-21.
Ketika memasuki Turn 4, tayar belakang Ducati GP26 miliknya dipercayai mengalami kegagalan tiba-tiba. Marquez pula hampir tercampak dari jentera, tetapi berjaya mengawal situasi dan mengelak kemalangan serius.
Beberapa pusingan kemudian, Joan Mir (Honda) juga terpaksa menarik diri akibat masalah yang dipercayai berpunca daripada tayar.
Aksi Sengit Perebutan Podium
Seawal dua pusingan pertama, Bezzecchi sudah mencipta jurang satu saat di depan Fernandez. Di belakangnya, perebutan podium berlangsung sengit membabitkan Acosta, Martin dan Marquez.
Acosta beberapa kali cuba memintas Martin, tetapi tersasar ketika percubaan agresifnya sebelum berjaya melengkapkan potongan kemas pada pusingan ke-10.
Persaingan Terbuka
Toprak Razgatlioglu (Yamaha Prima Pramac) menamatkan debut MotoGP di tempat ke-17, manakala Alex Marquez (Gresini Ducati) mengalami kemalangan lewat perlumbaan.
Selepas pusingan Thailand, Acosta kini mendahului carta kejuaraan dengan kelebihan tujuh mata, sebagai isyarat awal musim 2026 bakal menyajikan persaingan lebih terbuka.
SUMBER: Crash.Net





















