
JENAMA motosikal Itali-China, Moto Morini X-CAPE 700, kini rasmi memasuki pasaran Malaysia, menawarkan pilihan baharu dalam segmen motosikal adventure touring kelas pertengahan yang semakin mendapat perhatian penunggang tempatan. Dilancarkan pada harga RM33,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, model ini tampil dengan pakej lengkap untuk kegunaan harian, touring jarak jauh dan juga tunggangan ringan off-road.
Untuk pembeli yang mahukan sebuah jentera pengembaraan serba lengkap terus dari kilang, X-CAPE 700 hadir dengan ciri moden seperti paparan TFT 7 inci, TCS, TPMS, kamera hadapan, sambungan Bluetooth, serta set kotak touring standard. Ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Stone Black, Vortex Red dan Dynamic White, model ini jelas disasarkan kepada penunggang yang mementingkan gaya serta fungsi.
Enjin 693cc Dua Silinder, Kuasa 74 HP

Nadi penggerak Moto Morini X-CAPE 700 ialah enjin 693cc dua silinder, empat lejang dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik (EFI). Unit ini menghasilkan 74 horsepower pada 8,500 rpm bersama 68 Nm tork pada 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan serta sistem pacuan rantai.
Gabungan output ini memberi karakter tunggangan yang cukup seimbang untuk kegunaan pelbagai situasi, sama ada memotong di lebuh raya, mendaki laluan berbukit atau membawa muatan penuh ketika touring. Klac multi-plat basah FCC dengan fungsi slipper clutch turut membantu menambah kestabilan ketika penurunan gear agresif.
Suspensi Marzocchi dan KYB

Bagi aspek casis, X-CAPE 700 menggunakan fork hadapan jenis USD boleh laras jenama Marzocchi, manakala bahagian belakang dipadankan dengan penyerap hentak tunggal KYB boleh laras.
Jarak travel suspensi adalah 165 mm di hadapan dan 160 mm di belakang, cukup untuk menyerap permukaan jalan yang tidak rata serta memberikan keyakinan ketika melalui laluan off-road ringan.
Brek Brembo, ABS Dwi-Saluran

Sistem membrek pula menggunakan komponen premium daripada Brembo. Di hadapan, motosikal ini menerima cakera berkembar terapung 298 mm dengan angkup 4-piston, sementara di belakang terdapat cakera tunggal 255 mm dengan angkup 2-piston.
Semua ini dipadankan dengan ABS dwi-saluran, memberikan tahap keselamatan yang lebih baik terutama ketika membrek dalam keadaan jalan basah atau ketika membawa beban tambahan.
Rim Spoke 19 Inci, Sesuai Untuk Adventure Touring

Untuk mengekalkan identiti adventure sebenar, X-CAPE 700 hadir dengan rim spoke, bersama tayar bersaiz 110/90-R19 di hadapan dan 150/70-R17 di belakang.
Kombinasi ini sangat sesuai untuk tunggangan campuran jalan berturap dan laluan kurang sempurna, selain membantu memberikan kestabilan lebih baik ketika perjalanan jauh.
Dimensi, Praktikaliti Touring

Dari segi saiz, motosikal ini berukuran:
- Panjang: 2,220 mm
- Lebar: 960 mm
- Tinggi: 1,510 mm
- Jarak roda: 1,490 mm
- Ketinggian tempat duduk: 840 mm
- Kelegaan tanah: 190 mm
- Berat: 233 kg
- Tangki bahan api 18 liter menjadikannya cukup praktikal untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu terlalu kerap singgah mengisi minyak.
Ciri Moden dan Kelengkapan Standard Lengkap

Antara ciri utama yang ditawarkan termasuk:
- Paparan TFT 7 inci
- USB Type-A dan Type-C
- Lampu LED penuh dengan DRL
- Traction Control System (TCS)
- Tyre Pressure Monitoring System (TPMS)
- Mod tunggangan Ride dan Off-Road
- Bluetooth & aplikasi telefon pintar
- Kamera hadapan
- Untuk kaki touring, Moto Morini turut memberikan pakej aksesori standard yang sangat lengkap:
- Kotak sisi 34L kiri + 30L kanan
- Kotak atas 39L
- Pelindung tangan
- Crash bar / palang pelindung
- Cermin angin boleh laras manual
Harga Moto Morini X-CAPE 700 Malaysia
Dengan harga RM33,888, Moto Morini X-CAPE 700 tampil sebagai pilihan menarik bagi mereka yang sedang mencari motosikal adventure touring dengan spesifikasi premium tanpa perlu berbelanja ke tahap model Eropah yang lebih mahal.
Setiap pembelian turut disertakan waranti dua tahun tanpa had perbatuan, bersama sokongan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Secara keseluruhan, X-CAPE 700 nampak cukup berbaloi untuk penunggang yang mahukan motosikal serba boleh — sesuai untuk ulang-alik harian, weekend ride dan ekspedisi jarak jauh.







