
KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menahan pegawai penguat kuasa disyaki menjadi orang tengah kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah perlindungan haram terhadap kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah dimaklumkan lebih awal mengenai operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mempertahankan imej, kredibiliti serta integriti jabatan daripada elemen negatif yang tidak boleh dikompromi.
Bocor Maklumat Operasi
Anthony berkata sebelum ini pihaknya menerima pelbagai aduan termasuk daripada pengusaha lori berhubung kebocoran maklumat operasi penguatkuasaan kepada pihak luar.
Menurut beliau, situasi itu menyebabkan operasi besar-besaran bagi menangani isu lori membawa muatan berlebihan kurang berkesan apabila pengusaha tertentu hanya mematuhi had muatan pada hari operasi selepas menerima maklumat awal.
Hasil siasatan dan pengintipan, didapati memang ada pihak dalaman yang terlibat, maka tangkapan telah dibuat,” katanya.
13 Individu Direman
SPRM menahan 13 individu termasuk tiga anggota penguat kuasa yang dipercayai mendalangi kartel tonto melibatkan perlindungan haram terhadap pemilik lori di seluruh Semenanjung.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 27 Februari dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut.
Amaran Tegas
Anthony Loke berharap tindakan tegas itu menjadi amaran keras kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah dan kebocoran maklumat operasi.
Jangan rasa dan jangan ingat bahawa kita tak tahu apa yang anda buat, termasuk pengusaha lori yang membayar tonto untuk mendapatkan maklumat. Mereka juga sedang dikenal pasti,” katanya.
MOT menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang mencemarkan integriti penguatkuasaan serta menjejaskan keselamatan dan keadilan di jalan raya.
SUMBER: SinarHarian



