
KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) mencadangkan pindaan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam kes kecurian kabel sistem pengangkutan rel.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan tersebut sudah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap pesalah.
Menurut beliau, kecurian kabel rel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia boleh menjejaskan keselamatan orang ramai serta mengganggu operasi pengangkutan awam.
Ganggu Operasi MRT
Anthony berkata cadangan pindaan undang-undang itu dibincangkan dalam pertemuan bersama KDN pada Disember lalu.
Beliau menegaskan tindakan lebih tegas perlu diambil memandangkan kes kecurian kabel boleh memberi kesan besar kepada operasi sistem rel seperti MRT Laluan Putrajaya.
Baru-baru ini, Prasarana Malaysia Berhad membuat laporan polis selepas kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.
Empat Suspek Ditahan
Kejadian tersebut menyebabkan gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari, sekali gus menjejaskan ribuan pengguna pengangkutan awam.
Susulan siasatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, pakar kriminologi Datuk Shahul Hamid Abd Rahim turut menggesa kerajaan menyemak semula undang-undang sedia ada kerana hukuman terhadap pencuri kabel tidak setimpal dengan kerugian serta gangguan yang dialami sistem pengangkutan rel negara.
SUMBER: SinarHarian







