MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) mengumumkan edisi khas Mitsubishi Triton Championship Edition yang diilhamkan daripada kemenangan pasukan Team Mitsubishi Ralliart di Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025.
Edisi khas itu akan ditawarkan dalam dua varian: Triton Athlete Championship Edition (foto bawah kiri) dan Triton AT Premium Championship Edition (foto bawah kanan), yang dijadual dilancarkan secara rasmi pada 11 Mac 2026.
Model itu dibangunkan sempena meraikan kejayaan Mitsubishi dalam kejuaraan rali rentas Asia AXCR 2025, sekali gus menonjolkan ketahanan, keupayaan dan DNA sukan permotoran yang dibawa dalam model pengeluaran Triton.
Triton Athlete Championship Edition, Terhad 150 Unit
Varian Mitsubishi Triton Athlete Championship Edition ditawarkan eksklusif dalam warna Jet Black Mica (hitam) dengan pengeluaran terhad 150 unit.
Antara penambahbaikan dilakukan ialah:
- Dekal badan eksklusif tema rali
- Tayar semua rupa bumi (all-terrain) untuk cengkaman lebih baik
- Unit infotainmen 9 inci skrin sentuh
- Monitor pandang keliling untuk bantuan parkir
- Perehat kepala kerusi tema Championship
Model itu juga mengekalkan imej premium dan kemampuan off-road yang menjadi identiti Triton.
Triton AT Premium Championship Edition, Terhad 120 Unit
Sementara itu, Mitsubishi Triton AT Premium Championship Edition dihadkan 120 unit sahaja dan hadir dalam warna White Diamond (putih).
Ciri utama ialah:
- Rim sport 18 inci hitam
- Bar styling belakang
- Kemasan bampar depan
- Dekal badan khas
- Penutup perehat kepala kerusi edisi Championship
Varian itu menyasarkan pembeli yang mahukan gaya sporty dengan sentuhan ilham sukan permotoran. Berikut harga (tanpa insuran) yang ditawarkan:
- Mitsubishi Triton Athlete Championship Edition – RM169,980
- Mitsubishi Triton AT Premium Championship Edition – RM155,980
Pelanggan yang membuat tempahan akan menerima sarung kunci eksklusif dan pek pelekat motorsport.
Enjin Hyperpower 4N16 Diesel
Kedua-dua model dijana enjin diesel 2.4L Hyperpower 4N16.
Mitubishi Triton Athlete memberikan output kuasa 204ps, dan tork 470Nm dengan sistem Super Select 4WD-II.
Mitsubishi Triton AT Premium pula menghasilkan output kuasa 184ps dan tork 430Nm dengan sistem Easy Select 4WD.
Sistem Keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing
Varian Mitsubishi Triton Athlete turut dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS), terdiri daripada:
- Mitigasi Perlanggaran Depan (FCM)
- Amaran Tukar Lorong (LDW )
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Amaran Titik Buta (BSW)
- Bantuan Tukar Lorong (LCA)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
Ciri lain disediakan ialah Stabiliti Aktif dan Kawalan Traksi (Active Stability and Traction Control, ASTC), Kawalan Turun Bukit (HDC) dan Bantuan Mula Daki Bukit (HSA) untuk meningkatkan keselamatan serta kestabilan pemanduan.









































































