![]()
MINI Malaysia sambut Tahun Kuda mengikut kalendar Cina dengan memperkenalkan sebuah model edisi khas iaitu Countryman S Fiery Stallion Edition.
Dihadkan kepada hanya 18 unit di pasaran tempatan dan harga tawaran RM260,888, edisi istimewa ini direka untuk meraikan simbol kuasa, kebebasan dan pergerakan ke hadapan yang sinonim dengan zodiak Kuda dalam budaya Cina.
Edisi Terhad Dengan Sentuhan Simbolik

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, kuda sejak sekian lama melambangkan kekuatan, kebebasan dan momentum, nilai yang seiring dengan semangat MINI. Jadi, Countryman S Fiery Stallion Edition menzahirkan karakter tersebut menerusi rekaan kontemporari yang ekspresif, sekali gus menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih peribadi dan eksklusif.
Sebagai model edisi terhad, setiap unit dibangunkan khusus untuk pelanggan MINI yang menghargai keaslian, keyakinan dan gaya tersendiri dalam setiap perjalanan, tanpa mengorbankan praktikaliti harian sebuah Countryman.
Reka Bentuk Luaran Berani & Eksklusif
Dari sudut luaran, MINI Countryman S Fiery Stallion Edition tampil dengan kemasan visual yang diinspirasikan dunia permotoran. Ia dipadankan dengan bumbung eksklusif Vibrant Silver yang menghasilkan kontras sofistikated dengan warna badan, sekali gus menyerlahkan penampilan yang lebih agresif dan moden.
Elemen paling mencuri tumpuan ialah pelekat siluet Kuda Api di bahagian sisi pintu yang menyerupai nyalaan api sedang berlari, melambangkan tenaga dan pergerakan. Lambang khas kuda jantan pada gril hadapan pula menjadi identiti utama edisi ini, manakala pelekat penutup tangki bahan api berbentuk ladam kuda di bahagian belakang menambah elemen simbolik tuah dan kekuatan.
Kabin Sarat Identiti Fiery Stallion
Bahagian dalaman MINI Countryman S Fiery Stallion Edition meneruskan tema eksklusif dengan perincian yang menyambut pemandu sebaik melangkah masuk. Pelapik ambang pintu menampilkan tulisan “Fiery Stallion Edition” bersama nombor siri 1/18, merujuk kepada angka bertuah ‘118’ yang membawa makna kemakmuran dan permulaan baharu.
Turut melengkapkan pengalaman pemilikan ialah anak kunci khas dengan ukiran siluet kuda berapi, menekankan bahawa setiap perjalanan bersama edisi ini bermula dengan sesuatu yang istimewa dan bermakna.
Perlindungan & Sokongan Pemilikan MINI
MINI Countryman S Fiery Stallion Edition disertakan dengan program Bantuan Tepi Jalan MINI Malaysia selama lima tahun. Program ini merangkumi bantuan kecemasan 24 jam, perkhidmatan tunda percuma, kenderaan ganti, penginapan serta sokongan mobiliti lain sekiranya berlaku situasi tidak dijangka.
Pemilik juga menikmati waranti standard dua tahun, dengan pilihan lanjutan waranti dan pakej servis bagi memberikan ketenangan fikiran jangka panjang. Selain itu, MINI turut menawarkan kemudahan Servis Dalam Talian MINI, membolehkan pelanggan membuat janji temu servis dengan pengedar sah pilihan secara terus melalui platform digital.
Pengalaman Pemilikan Premium

Melalui inisiatif Relax. We Care., MINI Malaysia terus menetapkan penanda aras baharu dalam pengalaman pemilikan kenderaan premium. Pendekatan menyeluruh ini merangkumi Komitmen Servis MINI, MINI Proactive Care serta MINI ConnectedDrive, yang membolehkan pemantauan kenderaan masa nyata dan kemas kini perisian tanpa wayar.
Dengan gabungan reka bentuk eksklusif, nilai simbolik dan sokongan pemilikan komprehensif, MINI Countryman S Fiery Stallion Edition bukan sekadar sebuah kenderaan edisi khas, tetapi satu pernyataan gaya hidup untuk pemilik yang berani menonjolkan keperibadian mereka di jalan raya.































Leave a Reply