
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) secara rasmi melakukan previu eksklusif Mercedes-Benz CLA 2026 serba baharu kepada pelanggan tempatan, sekali gus menandakan permulaan era baharu kenderaan elektrik (EV) kompak premium jenama Jerman itu.
Model EV generasi baharu itu akan dipamerkan kepada umum dari 15 – 18 Januari 2026 di Stars @ Mercedes-Benz Bangsar, sekali gus memberi gambaran awal hala tuju Mercedes-Benz dalam aspek elektrifikasi, kecerdasan digital dan rekabentuk beremosi.
CLA Elektrik – Mercedes-Benz Paling Pintar Pernah Dihasilkan
Mercedes-Benz CLA 2026 elektrik baharu ini bukan sekadar EV biasa, tetapi juga model pertama Mercedes-Benz yang beroperasi sepenuhnya menggunakan sistem operasi (OS) MB.OS, iaitu OS dalaman baharu yang menjadikan kereta itu paling pintar dalam sejarah jenama.
Ciri MB.OS membolehkan:
- Setiap kenderaan dilengkapi superkomputer bersambung ke storan Mercedes-Benz Intelligent Cloud
- Kemas kini Over-the-air (OTA) kini merangkumi sistem bantuan pemanduan
- Sistem sentiasa dikemas kini sepanjang tempoh pemilikan
Mercedes-Benz CLA 2026 bukan sekadar ‘beli sekali, pakai sampai tua’, tetapi EV yang berkembang bersama pemiliknya.
MBUX Virtual Assistant Guna AI, Boleh Sembang Macam Manusia
Satu lagi sorotan besar ialah ciri bantuan maya MBUX Virtual Assistant generasi baharu, yang diperkasakan kecerdasan buatan (AI) generatif.
Antara kebolehan utama bantuan maya itu ialah:
- Dialog pelbagai lapisan (multi-turn conversation)
- Memahami konteks dan emosi pemandu
- Berasaskan ChatGPT-4o, carian Microsoft Bing, dan Google Gemini
- Navigasi pintar menggunakan data Google Maps
Paparan visual pula bukan ikon statik, tetapi avatar bintang Mercedes-Benz ‘hidup’ di ‘Lapisan Sifar’ (Zero Layer), iaitu pendekatan baharu dalam interaksi manusia-kenderaan, yang mana antaramuka utama MBUX boleh diakses tanpa perlu masuk berlapis-lapis menu.
EV ‘One-Litre Car’ Zaman Elektrik – Jimat, Jauh dan Cas Pantas
Mercedes-Benz CLA 2026 ini direka sebagai ‘kereta satu liter’ (one-litre car) era elektrik, dengan angka kecekapan sangat agresif dalam segmennya:
- Penggunaan tenaga serendah 12.2kWh per 100km
- Jarak pemanduan hingga 792km (WLTP)
- Sistem arkitektur 800V
- Tambahan jarak 325km hanya dalam 10 minit pengecasan
Ini menjadikan CLA 2026 elektrik itu antara EV paling efisien dan praktikal untuk kegunaan harian serta jarak jauh, yang bukan sekadar kereta bandar.
Rekabentuk Beremosi – Gril Bintang Bercahaya, Bumbung Panoramik
Dari segi visual, Mercedes-Benz CLA 2026 menampilkan bahasa rekabentuk baharu Mercedes-Benz yang lebih beremosi dan atletik menerusi:
- Jarak roda panjang, anjur depan (overhang) pendek, dan gaya GT di belakang
- Bonet panjang dengan bonjolan kuasa (power domes)
- Bahu sisi maskular dari depan ke belakang
Ciri paling mencuri tumpuan ialah:
- Panel gril A-shape bercahaya penuh
- 142 LED bentuk bintang Mercedes-Benz (animated!)
- Bumbung kaca panoramik tanpa pilar tengah
Buat kali pertama juga, CLA 2026 elektrik hadir dengan frunk (bonet depan) berkapasiti 101 liter, manakala ruang but belakang menawarkan 405 liter.
Pratempah Dibuka – Anggaran Harga RM295k
Bagi pasaran Malaysia, pratempah Mercedes-Benz CLA 250+ dengan EQ Technology kini dibuka pada harga anggaran RM295,888, atas jalan,termasuk cukai jualan (SST) 10 peratus, tanpa insurans di Semenanjung Malaysia.
Penanda Aras Baharu EV Mercedes-Benz
Mercedes-Benz CLA 2026 serba baharu jelas bukan sekadar pengganti CLA sedia ada tetapi menjadi anifesto digital Mercedes-Benz sebagai EV kompak premium dengan jarak luar biasa.
Model EV ini juga bakal menjadi perintis kepada generasi Mercedes-Benz akan datang. Jika angka jarak, teknologi AI dan kecekapan dunia sebenar diterjemah baik ke jalan raya Malaysia, CLA 2026 berpotensi menjadi penanda aras baharu segmen EV kompak premium.













































































