
MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk mencabar tuntutan jaminan bank Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berjumlah RM7.95 juta.
Peguam yang mewakili Petronas, Datuk Dr Cyrus Das berkata, hakim memutuskan Petros gagal membuktikan bahawa tuntutan jaminan bank tersebut adalah tidak wajar atau menyalahi undang-undang.
Ini bermakna tuntutan jaminan bank oleh Petronas telah diiktiraf sebagai sah,” katanya.
Isu Perlembagaan Di Luar Skop
Menurut Cyrus, mahkamah turut memutuskan isu perlembagaan yang dibangkitkan berada di luar skop saman pemula yang difailkan Petros.
Beliau berkata forum yang sesuai untuk menentukan persoalan perlembagaan berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) Sarawak ialah Mahkamah Persekutuan.
Pada 16 Mac, Petronas akan memohon kebenaran untuk merujuk perkara ini ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Petros Diarah Bayar Kos
Mahkamah turut memerintahkan Petros membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada Petronas.
Sebelum ini, Petros memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching bagi menghalang Petronas daripada menuntut jaminan bank berkenaan dengan alasan syarikat minyak nasional itu tidak memiliki lesen sah di bawah DGO 2016 untuk beroperasi di Sarawak.
SUMBER: SinarHarian



