
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan penalti Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM9.1 juta terhadap kontraktor projek Aerotrain KLIA, ALSTOM IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech Joint Venture).
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat memaklumkan tindakan itu diambil susulan kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut jadual ditetapkan.
RM100,000 Sehari Selama 91 Hari
Menurut MOT, penalti LAD dikenakan selama 91 hari bermula 1 April 2025 hingga 30 Jun 2025.
Seperti termaktub dalam kontrak, jumlah LAD dikenakan adalah sebanyak RM100,000 sehari atau jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta,” menurut kenyataan itu.
Sistem Disahkan Selamat
Terdahulu, MAHB memaklumkan penilai kereta api bebas mengesahkan sistem Aerotrain KLIA kini beroperasi seperti dirancang.
Menurut penilaian tersebut, gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak operasi awal adalah perkara biasa bagi sistem kereta api kompleks dan tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan serta pemantauan berterusan dilaksanakan.
SUMBER: AstroAwani




