
INDUSTRI automotif Malaysia dijangka memasuki fasa lebih sederhana pada 2026, dengan prestasi pasaran dipengaruhi gabungan faktor risiko global, tekanan kos dan perubahan dasar, walaupun masih disokong permintaan domestik berdaya tahan.
Unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menganggarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2026 mencapai 790,000 unit, menyusut 3.8 peratus berbanding pencapaian 820,752 unit pada 2025.
Pertumbuhan Ekonomi Lebih Perlahan, Tekanan Kos
MAA mengenal pasti beberapa risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi pasaran automotif tahun ini. Antaranya:
- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia dijangka sederhana pada paras 4.0 – 4.5 peratus, lebih rendah berbanding anggaran 4.9 peratus pada 2025
- Ketidaktentuan geopolitik dan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang tidak konsisten kekal menjadi kebimbangan terhadap kelebihan perdagangan Malaysia
- Tekanan inflasi berterusan turut meningkatkan kos pembuatan, komponen dan operasi, sekali gus mengecilkan margin keuntungan pengeluar (OEM) dan pengedar
Penamatan Insentif EV, Kuasa Beli Pengguna
Antara faktor penting lain adalah penamatan insentif cukai bagi kenderaan elektrik (EV) import dan potensi perubahan duti eksais serta kaedah pengiraan harga, yang boleh menyebabkan harga kenderaan baharu meningkat dan menjadi kurang mampu milik.
Walaupun minat terhadap EV semakin meningkat, MAA berpandangan pasaran EV Malaysia masih berada pada peringkat awal, dan memerlukan penekanan lebih besar terhadap pembangunan pemasangan tempatan (CKD) serta ekosistem sokongan.
Pada masa sama, harga bahan api bersubsidi berpotensi memperlahan peralihan pengguna kepada EV.
Faktor peningkatan kos sara hidup juga dijangka mengehadkan pendapatan boleh guna, sekali gus memberi kesan kepada kuasa beli pengguna terhadap kenderaan baharu.
Pasaran Buruh Stabil, Permintaan Kenderaan Mampu Milik
Di sebalik cabaran tersebut, MAA mengenal pasti beberapa faktor positif yang dijangka menyokong daya tahan pasaran automotif pada 2026. Antaranya pasaran buruh stabil dengan kadar pengangguran rendah sekitar 2.9 peratus, yang memberi keyakinan kepada pengguna untuk terus berbelanja.
Permintaan terhadap kenderaan mampu milik dan jimat bahan api, terutama jenama nasional, dijangka kekal kukuh.
Selain itu, pembangunan ekosistem EV akan terus menarik minat pelaburan asing, pemindahan teknologi dan pertumbuhan jangka panjang industri.
Model Baharu, Strategi Promosi Kekal Tarikan
MAA turut menjangka pengenalan jenama dan model baharu 2026 akan menyuntik keterujaan dalam pasaran.
Strategi promosi lebih agresif dan perkhidmatan nilai tambah daripada pengeluar dan pengedar dijangka terus memainkan peranan penting dalam merangsang minat pembeli.
Bukan Merosot, Tapi Lebih Sederhana
Secara keseluruhan, unjuran 2026 menggambarkan industri automotif Malaysia berada dalam fasa normalisasi selepas dua tahun prestasi kukuh, dengan pasaran dijangka lebih berhati-hati.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, asas permintaan domestik, kestabilan pasaran buruh dan peralihan berperingkat ke arah elektrifikasi dijangka terus menyokong industri dalam jangka sederhana dan panjang.





