
Nampaknya Emira bukan model dengan enjin pembakaran dalaman terakhir Lotus apabila syarikat kembali menggunakan enjin itu pada Eletre X Hybrid.
Melalui pengenalan teknologi hibrid terbaharu yang dinamakan X Hybrid, Lotus secara rasmi mengumumkan peralihan penting dalam strategi elektrifikasi mereka.
Teknologi ini merupakan sistem hibrid pertama dan tunggal di Eropah yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 952 ps.
Melalui platform ini, Lotus berjaya menggabungkan prestasi tinggi dengan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,200 km (WLTP) sekali gus menjadi jawapan kepada isu kegelisahan jarak yang sering dihadapi pengguna kenderaan elektrik.

Pengenalan Eletre X Hybrid memperluaskan lagi keluarga Eletre dan menetapkan tanda aras baharu dalam segmen mobiliti prestasi berteraskan elektrik.
Di pasaran China, model ini dikenali sebagai FOR ME yang bertindak sebagai prototaip rujukan bagi teknologi tersebut.
Nama Eletre X dipilih bagi melambangkan titik pertemuan antara prestasi elektrik, kepelbagaian hibrid dan ketulenan kejuruteraan Lotus manakala huruf X merujuk kepada inovasi berinovasi dan babak baharu bagi jenama tersebut.
Trenkuasa dan Keupayaan Penjana

Teras kepada sistem X Hybrid ini ialah penggunaan penjana (generator) 150 kW yang merupakan antara yang paling berkuasa dalam industri automotif.
Penjana ini mampu menghasilkan sehingga sekitar 25 kWj sejam dalam keadaan yang sesuai untuk mengecas semula bateri semasa kenderaan bergerak atau mengekalkan tahap cas semasa pemanduan santai.
Sistem rangkaian kuasa ini mempunyai enam senario operasi yang beroperasi mengikut kelajuan, tahap pengecasan bateri (SOC) dan permintaan pemandu.
Antaranya termasuklah mod pemanduan elektrik penuh (BEV AWD), hibrid selari (Parallel AWD), pengecasan ketika pegun (Idle Charging), nyahcas siri (Series Discharging), penjanaan kuasa siri (Series Power Generation) dan penjanaan kuasa selari (Parallel Power Generation).
Penggunaan seni bina voltan tinggi 900V turut menyokong keupayaan cas dan nyahcas tahap tinggi serta prestasi kelajuan tinggi yang stabil.
Prestasi Motor Elektrik dan Pecutan

Model rujukan (Lotus FOR ME) bagi teknologi ini dilengkapi dengan sistem motor magnet kekal (PMSM) berkembar pada bahagian hadapan dan belakang.
Gabungan motor menghasilkan output sistem sehingga 700 kW (952 ps) dan tork maksimum 935 Nm.
Keupayaan ini membolehkan kenderaan memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat.
Walaupun tahap pengecasan bateri berada pada paras sekitar 20 peratus, sistem masih mampu menghantar kuasa sehingga 550 kW (748 ps) untuk kegunaan mendesak seperti memotong di kawasan pergunungan.
Pengurusan Tenaga dan Pengecasan Ekstrem

Sistem X Hybrid merangkumi bateri berkapasiti 70 kWj dan tangki bahan api sebesar 52 liter.
Bagi penggunaan harian, jarak pemanduan elektrik adalah sekitar 350 km manakala jarak gabungan keseluruhan mencecah lebih 1,200 km.
Dari aspek pengecasan, seni bina 900V dengan keupayaan 6C membolehkan pengecasan pantas DC dari 20 peratus ke 80 peratus dilakukan dalam masa kira-kira 9 minit sahaja.
Terdapat juga empat tahap brek regeneratif untuk mengumpul semula tenaga semasa pemanduan harian.
Dinamik Pengendalian dan Casis

Sebagai sebuah model Lotus, aspek pengendalian tetap menjadi keutamaan. Platform ini dilengkapi dengan bar anti-oleng aktif 48V yang mampu memberikan tork sehingga 1,400 Nm dengan respons sepantas 10 ms bagi memastikan sudut olengan badan kekal di bawah 1.5 darjah per g.
Di bahagian belakang, terdapat spoiler aktif dengan empat kedudukan iaitu Tutup, 18 darjah, 32 darjah dan 34 darjah yang mampu menghasilkan daya mendap sehingga 120 kg.
Sistem suspensi udara dua ruang dengan peredam dua injap mampu bertindak balas dalam masa 2 ms untuk mengimbangi antara keselesaan dan kawalan dinamik.
Bahagian hadapan menggunakan double wishbone manakala sistem brek dikendalikan oleh kaliper Brembo 6-piston yang membolehkan jarak berhenti dari 100 ke 0 km/j dilakukan dalam jarak 33.9 meter.
Tayar yang digunakan juga ditala khusus oleh Lotus untuk cengkaman litar basah dan kestabilan berkelajuan tinggi.

Kemewahan dan Teknologi Dalaman
Ruang kabin menawarkan pilihan kemasan kulit Nappa sepenuhnya seluas kira-kira 40 meter persegi menggunakan 9 kepingan kulit asli.
Sistem audio pula menggunakan KEF Reference dengan 23 pembesar suara berkuasa 2,160 W melalui seni bina 7.1.4 untuk mutu bunyi yang mengasyikkan.
Selain itu, bumbung panoramik dengan teknologi malap PDLC menawarkan 10 tahap ketelusan dan memberikan ruang kepala tambahan sebanyak 30 mm berbanding struktur tradisional.

Spesifikasi Teknikal Lotus Eletre X (Angka Berdasarkan Lotus FOR ME)
- Sistem Trenkuasa: X Hybrid (Elektrik-Pertama)
- Output Maksimum: 952 ps
- Tork Maksimum: 935 Nm
- Pecutan 0-100 km/j: 3.3 saat
- Motor Elektrik: Dua motor PMSM 700 kW (952 ps)
- Seni Bina Elektrik: 900V / 6C
- Kapasiti Bateri: 70 kWj
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 52 liter
- Jarak Pemanduan Elektrik Tulen: 350 km (WLTP)
- Jarak Pemanduan Gabungan: 1,200 km (WLTP)
- Kadar Pengecasan DC (20-80 peratus): 9 minit
- Kapasiti Penjana: 150 kW
- Sistem Brek: Brembo 6-piston hadapan
- Jarak Berhenti (100-0 km/j): 33.9 meter
- Sistem Suspensi: Udara dua ruang dan peredam dua injap
- Daya Mendap Aerodinamik: Maksimum 120 kg
- Sistem Audio: KEF Reference 23 pembesar suara (2,160 W)
Spesifikasi penuh untuk model Eletre X di pasaran Eropah akan disahkan menjelang pelancaran rasmi pada Jun 2026. Penghantaran pertama dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026.
















