
PEMILIKAN rumah kini semakin mencabar, terutama buat golongan muda bandar. Terbaharu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mencadangkan supaya pemaju perumahan mengurangkan jumlah parkir kenderaan bagi projek baharu yang dibangunkan berhampiran stesen pengangkutan awam seperti LRT dan MRT.
Menurut beliau, syarat minimum satu atau dua petak parkir bagi setiap unit kediaman dilihat menjadi antara faktor utama peningkatan harga hartanah kerana kos pembinaan parkir turut dimasukkan ke dalam harga jualan sesebuah unit.
Kalau projek dekat dengan stesen LRT atau MRT, mungkin boleh dikurangkan keperluan tempat letak kereta supaya menggalakkan penghuni menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Projek TOD Dah Boleh Memohon Kelonggaran
Anthony memaklumkan, beberapa projek Transit-Oriented Development (TOD) di sekitar Kuala Lumpur sebenarnya sudah pun dibenarkan memohon kelonggaran syarat parkir daripada pihak berkuasa tempatan.
Langkah itu sejajar dengan konsep pembangunan berorientasikan transit yang lebih menekankan kemudahan akses kepada pengangkutan awam berbanding kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Sasaran Golongan Muda Bandar
Bagaimanapun jelas beliau, saranan berkenaan khusus untuk projek baharu, terutama yang menyasarkan golongan muda untuk menetap berhampiran rangkaian rel bandar.
Menurutnya, tinggal berdekatan dengan stesen pengangkutan awam menyebabkan keperluan memiliki kereta menjadi lebih rendah sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Sekiranya duduk dekat dengan stesen pengangkutan awam, mungkin keperluan untuk memiliki kereta itu lebih rendah, dan ini boleh menjimatkan kos kehidupan mereka,” katanya.
Ke Arah Gaya Hidup Tanpa Kereta
Tambah Anthony, langkah tersebut turut menyokong peralihan jangka panjang kepada gaya hidup lebih lestari dengan kebergantungan kepada pengangkutan awam, selain membantu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan bandar utama.
Ringkasnya, kalau rumah dekat dengan LRT atau MRT, mungkin dah tiba masa kita tak perlu lagi simpan dua tiga kereta untuk satu keluarga.
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply