MENJELANG pelancaran rasmi di Malaysia, jenama automotif dari China, Lepas mula menonjolkan strategi jenama berteraskan tujuan (purpose-led) yang menggabungkan elemen budaya, komuniti dan kejuruteraan global.
Sebagai inisiatif awal, Lepas Malaysia bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal, Karl Ho untuk menghasilkan baju raya khas buat kanak-kanak dari beberapa rumah kebajikan seperti Pertubuhan Baitul Asnaf Sendayan, Yayasan Kasih Sayang Kuala Pilah dan Pusat Jagaan Anak Yatim Kausar Senawang.
Lebih Sekadar Mobiliti
Pengarah Jenama Kanan Lepas Malaysia, Sarah Choo berkata, inisiatif tersebut mencerminkan nilai jenama yang bukan hanya menumpukan mobiliti, tetapi juga usaha memperkasa komuniti.
Beliau berkata, setiap pakaian yang dihasilkan melambangkan maruah, keyakinan dan kegembiraan, khususnya dalam menyambut musim perayaan.
Bagi Karl, kolaborasi itu pula membuktikan rekabentuk mampu memberi impak besar dalam membina keyakinan diri, terutama dalam kalangan generasi muda.
Falsafah ‘Lepas’, Arah Tuju Global
Nama Lepas sendiri diambil daripada perkataan Melayu ‘lepas’ yang membawa maksud membebaskan dan bergerak ke depan, selari falsafah jenama untuk menggalakkan individu melangkaui batas dan mencipta masa depan lebih baik.
Pada masa sama, Lepas turut merancang memperkenalkan barisan kenderaan utiliti sukan (SUV) terdiri daripada:
- L4
- L6
- L8
Model itu dibangunkan berasaskan platform global NEV baharu daripada Chery Group yang menyokong pelbagai trenkuasa seperti enjin pembakaran dalamann (ICE), hibrid dan elektrik (EV) penuh.
Sasaran Pasaran Malaysia, Global

Dengan pendekatan rekabentuk Leopard Aesthetics, ruang dalaman premium dan falsafah pemanduan elegan, Lepas menyasarkan membina identiti tersendiri dalam pasaran SUV Malaysia yang semakin kompetitif.
Secara global, jenama itu kini sedang meluaskan kehadiran di Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara, dengan Malaysia menjadi antara pasaran pemanduan sebelah kanan terawal dalam strategi peluasan.
Lepas dilihat mahu membezakan diri dengan gabungan teknologi global, rekabentuk elegan dan pendekatan berteraskan komuniti dalam era mobiliti baharu.













