PENGELUAR kenderaan elektrik (EV) dari China, Leapmotor mendedahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) coupe elektrik baharu, Leapmotor B05 2026 di Pameran Motor Brussels 2026 (Brussle Autosalon), sekali gus melengkapkan portfolio produk EV jenama itu dalam segmen-C.
Pengenalan itu mengukuhkan kedudukan Eropah sebagai wilayah strategik global selepas merekodkan pendaftaran lebih 35,000 unit kenderaan dan menubuhkan lebih 800 pusat jualan pada 2025.
Di pasaran tempatan, Leapmotor turut aktif. Terbaharu pengeluar itu menawarkan SUV, Leapmotor C10 PLUS versi dipertingkat dan edisi terhad C10 PLUS Night Edition yang tampil sporty dengan kit badan aerodinamik.
Rekabentuk Luaran Dinamik
Penampilan Leapmotor B05 menonjol dengan gaya coupé menerusi dimensi lebar 1,880mm untuk menyerlahkan kehadiran dominan di jalan raya. Kehadiran B05 turut menyuntik elemen segar di sebalik sejumlah SUV EV keluarga.
Postur aerodinamik yang condong ke depan dan garis badan kemas, mempamerkan elemen kekuatan dan pergerakan.
Antara ciri luaran utama ditonjolkan idalah penggunaan pintu tanpa frem, lampu depan bersepadu gaya bilah dan rim aloi Swift-Wing 19 inci.
Model itu ditawarkan dalam pilihan warna ekspresif: Yellow (kuning), Grey (kelabu), Metallic Black (hitam), Starry Night Blue (biru) dan Galaxy Silver (perak).
Ruang Kabin, Teknologi
Berikut ciri dimiliki Leapmotor B05 2026:
- Penggunaan teknologi sel kepada casis Cell-to-Chassis membolehkan ruang kabin lebih luas untuk semua penumpang
- Suasana kabin turut dipertingkat dengan bumbung panoramik yang juga terbesar dalam kelas bagi membolehkan cahaya semula jadi memenuhi ruang dalaman
- Pemandu dan penumpang disediakan kerusi sport kulit eko (eco-leather) yang dilengkapi fungsi pemanas
- Konsol tengah menempatkan perehat lengan yang disepadu dengan pengecas telefon pintar wayarles, dua pemegang cawan dan ruang storan tersembunyi
- Sistem hiburan diakses melalui unit infotainmen definisi tinggi (HD)14.6 inci berserta sistem audio kualiti tinggi dengan 12 pembesar suara
- Menggunakan sistem operasi (OS) Leap OS 4.0 Plus baharu yang disertakan pembantu kecerdasan buatan (AI)
- Ciri keselamatan dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dengan 17 ciri untuk perlindungan terbaik kepada penumpang
Trenkuasa, Prestasi
Bukan saja tampil menarik, Leapmotor B05 2026 dilengkapi fungsi Kawalan Luncur untuk pemanduan lebih dinamik selain spesifikasi berikut:
- Bateri: ProMax 67.1kWj
- Jarak gerak: Sehingga 460km (WLTP)
- Pecutan 0 – 100kmj: 6.7 saat
- Pengecasan pantas (DC): Lebih 170kW
- Lebar badan: 1,880mm
- Kapasiti bateri: 67.1kWj
- Rim: Swift-Wing 19 inci
- ADAS: 17 ciri
- Unit infotainmen: HD 14.6 inci
- Sistem audio: 12 unit pembesar suara









