
KTM Japan melancarkan model flagship dalam siri kembara mereka iaitu KTM 1390 Super Adventure S Evo 2026.
Jentera ini membawa dimensi baharu dalam segmen motosikal advencer bagi pasaran Jepun dengan pengenalan teknologi yang lebih canggih berbanding generasi sebelumnya.
Trenkuasa dan Teknologi Camshift

KTM 1390 Super Adventure S Evo dikuasakan enjin V-twin LC8 yang telah dipertingkatkan sesarannya daripada 1,301 cc kepada 1,350 cc.
Peningkatan ini membolehkan enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 173 ps dan tork setinggi 145 Nm.
Prestasi ini dicapai melalui rombakan komponen dalaman enjin serta penggunaan teknologi Camshift atau mekanisme injap berubah-ubah.
Sistem Camshift ini berfungsi secara dua fasa. Pada julat RPM rendah, profil sesondol memastikan kelancaran tunggangan dan kecekapan bahan api yang lebih baik.
Manakala pada julat RPM tinggi, sesondol kemasukan akan berganjak secara mendatar untuk membolehkan injap terbuka lebih lama dan lebih tinggi.
Ini memaksimumkan aliran campuran udara dan bahan api ke dalam silinder untuk prestasi puncak yang berkuasa.
Transmisi Manual Automatik AMT Pertama KTM

Salah satu inovasi paling besar pada model ini ialah pengenalan Automated Manual Transmission atau AMT. Sistem ini tidak lagi memerlukan tuas klac manual.
Penunggang diberikan kebebasan untuk memilih mod penukaran gear semi-automatik sama ada melalui tuas kaki atau pedal pada bahagian bar pemegang.
Selain itu, penunggang juga boleh memilih mod automatik sepenuhnya di mana penukaran gear dilakukan secara elektronik dan penunggang hanya perlu mengawal pendikit minyak.

Casis dan Sistem Suspensi WP SAT
Struktur utama jentera ini dibina berasaskan rangka yang telah dioptimumkan tahap ketegarannya bagi menjamin pengendalian yang lebih tajam serta kestabilan pada kelajuan tinggi.
Ergonomik penunggang turut diberi perhatian dengan kedudukan tempat letak kaki yang kini 8 mm lebih rendah dan 10 mm lebih lebar bagi meningkatkan keselesaan.
Sistem suspensi pula menggunakan teknologi WP Semi-Active Technology atau SAT yang paling terkini.
Berbanding versi sebelum ini, sistem SAT baharu ditala dengan lebih jitu bagi memberikan ciri redaman yang konsisten walaupun ketika melalui permukaan jalan dengan getaran tinggi.
Evolusi Rekaan dan Paparan Digital 8 Inci

KTM 1390 Super Adventure S Evo tampil dengan wajah baharu melalui rekaan badan dan pelana yang lebih segar.
Ia dilengkapi dengan lampu hadapan LED rekaan baharu, penghadang angin serta ruang penyimpanan barang yang telah diperkemas.
Pada bahagian kokpit, terdapat paparan berwarna TFT 8 inci jenis menegak yang menyokong fungsi skrin sentuh.
Skrin ini menggunakan teknologi induktif yang membolehkan ia dikendalikan walaupun penunggang memakai sarung tangan.
Paparan ini juga disertakan dengan salutan anti-pantulan, anti-silau serta lapisan pelindung kesan jari bagi memastikan kejelasan maklumat dalam apa jua keadaan cuaca.
Sistem Keselamatan Pintar dan ACC Stop and Go

Melalui skrin tersebut, penunggang boleh mengakses pelbagai mod tunggangan, ciri sambungan serta sistem Kawalan Jejalah Adaptif atau ACC generasi kelima daripada Bosch yang lebih kompak.
Menariknya, gabungan sistem ACC dan transmisi AMT membolehkan fungsi Stop and Go beroperasi sepenuhnya.
Sistem ini membolehkan motosikal berhenti secara automatik sekiranya kenderaan di hadapan berhenti dan akan mula bergerak semula secara automatik sebaik sahaja trafik kembali lancar.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan bantuan brek, amaran perlanggaran, amaran jarak kenderaan serta fungsi Group Ride untuk kegunaan ketika tunggangan berkumpulan.
Harga dan Ketersediaan
KTM 1390 Super Adventure S Evo dijadualkan mula dijual pada April 2026. Harga di Jepun adalah 3,250,000 JPY atau bersamaan kira-kira RM81,412.
Spesifikasi Teknikal KTM 1390 Super Adventure S Evo
- Enjin: 1,350 cc, sejukan cecair 4 lejang DOHC V-twin 2 silinder
- Kuasa maksimum: 173 ps@9,500 rpm
- Tork maksimum: 145 Nm@8,000 rpm
- Transmisi: 6 kelajuan
- Tayar hadapan: 120/70 ZR-19 inci
- Tayar belakang: 170/60 ZR-17 inci
- Jarak roda: 1,558 mm ±15 mm
- Ketinggian pelana: 847 / 867 mm (boleh laras)
- Isipadu tangki bahan api: lebih kurang 23 liter
- Berat: lebih kurang 227 (tanpa bahan api)
- Warna: Jingga
- Negara pengeluar: Austria












