MINGGU lalu, kami bersama rakan media lain dikejutkan dengan penampilan sulung Kia Picanto GT Line di bilik pameran Kia Red Cube Plentong, Johor Bahru. Menurut Naza Kia Malaysia, model itu hanya versi previu dan mungkin ada beberapa ciri tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Melihat keseluruhan profil fizikal, Kia Picanto GT Line dipadankan beberapa kit badan membabitkan bampar depan dan belakang, skirt sisi dan rim saiz 16-inci yang menjadikan model supermini itu tampak lebih sporty dan menarik. Ruang dalaman pula menampilkan bumbung suria, sistem masukan tanpa kunci, skrin sentuh 7-inci bersama sistem navigasi, kamera undur dan banyak lagi.
ENJIN TURBO ATAU NA?
Di Korea, Kia Picanto generasi ke-3 ditawarkan dalam dua pilihan enjin, iaitu 1.0L pengecas turbo T-GDI dan 1.2L NA DOHC. Bagaimanapun, model pasaran Malaysia dijangka menampilkan versi 1.2L NA. Enjin berkenaan sama seperti Kia Picanto generasi ke-2.
Dengan bantuan kotak gear automatik 4-kelajuan, Kia Picanto mampu menghasilkan kuasa setinggi 83hp pada 6,000rpm dan tork 122Nm (4,000rpm).
HARGA KOMPETITIF?
Buat masa ini, Naza Kia Malaysia tidak mendedahkan harga jualan bagi model berkenaan. Jadi, tarikh sebenar bilakah akan dilancarkan juga masih menjadi tanda tanya. Kami meramalkan kemungkinan model itu diperkenalkan tahun hadapan, manakala harga pula mungkin tidak jauh berbeza seperti Kia Picanto generasi terdahulu.
Sebagai makluman, Kia Picanto sebelum ini dijual pada harga RM61,888. Kia Picanto generasi ke3 kemungkinan dijual sekitar RM62,000 hingga RM65,000, manakala Kia Picanto GT Line mungkin berharga sekitar RM70,000. Sama-sama kita nantikan.
Leave a Reply