
KERAJAAN tidak bercadang melakukan perubahan drastik terhadap dasar semasa berkaitan harga subsidi petrol RON95 walaupun pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan berikutan konflik antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Kkerajaan melalui Kementerian berkaitan sentiasa memantau indikator utama termasuk harga minyak mentah Brent bagi memastikan kestabilan pasaran domestik terus terpelihara.
Menurut beliau, konflik geopolitik lazimnya menyebabkan lonjakan mendadak harga minyak mentah, tetapi pasaran dan pemain industri biasanya akan menyesuaikan keadaan bagi menstabilkan semula harga.
Subsidi Bersasar Kekalkan Harga Stabil
Akmal Nasrullah menjelaskan, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar ketika ini membolehkan Kerajaan mengekalkan harga bahan api pada kadar munasabah walaupun harga minyak mentah dunia mengalami turun naik.
Menurutnya, aspek peruntukan dan implikasi fiskal berhubung subsidi turut diteliti menyeluruh Kementerian Kewangan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal stabil.
Beliau turut menegaskan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan sebarang keputusan mengenai dasar domestik dibuat secara berhati-hati dan berpandukan data.
Perubahan pasaran ketika ini tidak memberi sebarang petunjuk bahawa Kerajaan akan membuat perubahan dasar secara drastik, termasuk melibatkan harga domestik RON95,” katanya.
Fokus Keselamatan Tenaga Negara
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan sedang melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Asli bagi memastikan kesinambungan, keselamatan dan kelestarian bekalan gas negara dalam jangka masa panjang.
Akmal Nasrullah berkata, faktor geopolitik global yang semakin mencabar menjelang 2026 sudah diambil kira dalam pelan tersebut, termasuk potensi gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga tenaga.
Selain itu, Kerajaan turut menumpukan kepada pembangunan ekosistem teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) sebagai sebahagian agenda peralihan tenaga negara.
Kerajaan juga mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 4.5 peratus tahun ini, sambil terus memantau perkembangan ekonomi global.
SUMBER: BeritaHarian








