PERSAINGAN sengit daripada jenama automotif China seperti Chery, Jaecoo, dan BYD memberi tekanan besar terhadap Bermaz Auto Bhd (BAuto) dengan pegangan pasaran Mazda di Malaysia merosot daripada 2.4 peratus pada 2023 kepada 1.8 peratus pada 2024.
Jualan Mazda turun 24 peratus sepanjang tahun lalu, disebabkan peningkatan saingan daripada jenama China yang menawarkan harga lebih kompetitif, terutama dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV).
Model seperti Chery Omoda 5, Jaecoo J7, dan BYD Atto 3 yang dijual antara RM100,000 hingga RM160,000, menarik lebih ramai pembeli berbanding Mazda CX-5 yang lebih mahal (RM145,000 hingga RM195,000). Malah jenama China meningkatkan pegangan pasaran mereka daripada 1 peratus pada 2023 kepada 3.5 peratus pada 2024.
Bagi menghadapi cabaran ini, BAuto merancang melancarkan lebih banyak model baharu, termasuk tiga model kenderaan elektrik (EV) jenama Deepal pada 2025.
Model Xpeng G9 (foto atas kiri) dan Mazda CX-60 juga dijangka dilancarkan dalam tempoh sama. Walaupun prestasi BAuto dijangka terus mencabar pada 2025, firma penyelidikan CGS International meramalkan pendapatan akan pulih pada 2026 dengan pelancaran model baharu.
CSG menurunkan unjuran pendapatan BAuto untuk 2025-2027 sebanyak 10 hingga 26 peratus, tetapi mengekalkan saranan 'Tambah' pada saham BAuto dengan harga sasaran RM2.30, berdasarkan potensi pemulihan jualan dan pertumbuhan pendapatan jangka sederhana. Risiko utama termasuk penurunan kuasa beli pengguna dan persaingan ketat daripada jenama China.
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply