JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menegaskan tidak berkompromi terhadap mana-mana kontraktor pembersihan yang menggajikan warga asing sebagai pemandu lori sampah tanpa mematuhi syarat undang-undang ditetapkan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, hasil statistik operasi sepanjang tahun lalu mendapati kebanyakan kenderaan pembersihan, khususnya lori sampah, dipandu warga asing, sekali gus menimbulkan kebimbangan dari aspek pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya.
JPJ Jumpa PBT, Kontraktor
Hamidi berkata, JPJ sudah mengadakan pertemuan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat kontraktor berkaitan bagi menegaskan tindakan segera perlu diambil untuk menghentikan amalan berkenaan.
Kita sudah mengadakan pertemuan bersama PBT dan kontraktor terlibat untuk menegaskan amalan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori sampah tanpa mematuhi syarat undang-undang mesti dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang diadakan, Selasa lalu.
Warga Asing Wajib Patuh Undang-Undang
Hamidi menjelaskan, JPJ tidak menghalang warga asing memandu kenderaan di Malaysia, tetapi setiap individu wajib mematuhi semua peraturan dan undang-undang ditetapkan Kerajaan.
Sekiranya mahu menggaji warga asing, pastikan mereka mempunyai status imigresen sah dan lesen memandu diiktiraf serta dibenarkan di Malaysia,” katanya.
Tindakan Penguatkuasaan Diteruskan
Menurutnya, JPJ akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan berterusan dari semasa ke semasa, dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan, termasuk majikan dan kontraktor terlibat.
Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak ingkar,” katanya.
SUMBER: SinarHarian






