![]()
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah menyita sebuah Lamborghini Huracan dalam operasi berterusan Ops Luxury selepas didapati melakukan beberapa ketidakpatuhan serius, termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta tiada nombor pendaftaran hadapan. Kenderaan mewah itu kini ditahan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Ijok untuk tindakan lanjut.
Menurut satu hantaran di Facebook, JPJ Selangor menegaskan pihaknya sentiasa memantau aduan awam bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“JPJ Selangor sentiasa memantau setiap aduan bagi memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan kesalahan trafik melalui e-mel [email protected] atau aplikasi e-Aduan,” menurut kenyataan itu.
Ops Luxury Sasar Kenderaan Mewah Tidak Patuh
Sejak Ops Luxury dilancarkan pada 1 Julai, JPJ telah menyita 915 kenderaan mewah di seluruh negara. Antara jenama terlibat termasuk Aston Martin, Ferrari, Lamborghini, Porsche dan Rolls-Royce.
Sitaan dibuat atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki cukai jalan dan insurans sah, selain kesalahan berkaitan nombor pendaftaran.
JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta pematuhan undang-undang, tanpa mengira nilai atau status kenderaan.
SUMBER: FB JPJ Selangor




Leave a Reply