JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak menyita sebuah Ferrari ultra-terhad dalam operasi Op Luxury yang dijalankan baru-baru ini.
Menurut JPJ Sarawak, hasil pemeriksaan mendapati kereta mewah tersebut melakukan beberapa kesalahan serius seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM)@ roadtax tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tidak mempamerkan nombor pendaftaran depan.
Sita Bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
Susulan kesalahan dikesan, kenderaan berkenaan diambil tindakan serta-merta untuk siasatan lanjut.
Susulan itu, kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa
– JPJ Sarawak
Bukan Ferrari Biasa, Ini Versi NOVITEC
Apa menjadikan sitaan itu lebih mencuri perhatian ialah model tersebut bukan Ferrari standard, sebaliknya sebuah Ferrari F12berlinetta edisi ultra-terhad yang ditala pakar tuner, NOVITEC Group dari Jerman.
NOVITEC adalah antara nama besar dalam dunia talaan kereta eksotik, terkenal dengan pakej naik taraf prestasi dan aero agresif untuk jenama seperti Ferrari, Lamborghini dan McLaren.
Hanya 11 Unit Seluruh Dunia
Menariknya, model tersebut hanya dihasilkan 11 unit sahaja seluruh dunia, sekali gus menjadikan supercar itu antara Ferrari modifikasi paling eksklusif pernah dihasilkan.
Jentera badan lebat itu menggunakan panel gentian karbon dan mempunyai badan 140mm lebih lebar berbanding model asal, yang memberi penampilan jauh lebih garang dan agresif.
Kuasa Cecah 781hp

Dari segi prestasi, talaan NOVITEC turut meningkatkan output kuasa kepada sekitar 781hp, jauh lebih tinggi daripada spesifikasi Ferrari F12berlinetta standard.
Gabungan kuasa besar dan jumlah pengeluaran yang sangat terhad menjadikan sitaan kali ini antara kes paling mendapat perhatian dalam Op Luxury.
SUMBER: JPJSarawak












