JETOUR Auto Malaysia (Jetour Malaysia) dijangka memperkenalkan Jetour VT9 iaitu model kenderaan kedua selepas Dashing ke pasaran tempatan dalam masa terdekat.
Model kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tergolong dalam segmen-D itu pernah ditayangkan di Malaysia Autoshow 2024 tetapi menggunakan nama seperti di China.
Ketika mengikuti Jetour Malaysia untuk menghadiri pameran Auto Shanghai 2025, PanduLaju berpeluang melihat secara dekat seunit model 'SUV 7' itu di pekarangan hotel kami menginap.
Ingin diingatkan, nama model yang tertera dalam koleksi gambar ini adalah produk yang dirakam di China. Bagi pasaran tempatan, nama rasmi yang akan digunakan ialah VT9 dan Jetour Malaysia sudah membuat hebahan menerusi media sosial.
Bagaimanapun, kami tidak mendapat rakaman foto dalam kabin kerana kenderaan dikunci. Apa yang pasti, model dipamerkan itu ialah versi pemanduan kanan (RHD).
Jetour VT9 dilihat sebagai produk yang akan bersaing dengan Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro sebaik saja berada di pasaran tempatan. Dimensi SVU itu ialah panjang 4,724mm, lebar 1,900mm dan tinggi 1,720mm, manakala jarak roda 2,720mm.
Belum ada maklumat rasmi terkini mengenai trenkuasanya, tetapi dipercayai SUV segmen-D itu akan didatangkan dengan enjin enjin 1.5L turbo seperti yang diaplikasi pada Jetour Dashing dan transmisi dual-klac (DCT) 6-kelajuan.
Apapun, kita tunggu pameran Malaysia Autoshow 2025 kerana model ini mungkin dipamerkan di situ.
Leave a Reply