JENAMA kenderaan Jepun mendominasi pasaran Amerika Syarikat (AS) untuk ranking kereta transmisi manual paling laris sepanjang 2024.
Berdasarkan laporan portal Motor1, model Honda Civic mendahului senarai 10 model transmisi manual paling laris di negara itu sepanjang tempoh 12 bulan lalu.
Model Civic dengan transmisi manual mencatat jualan 7.2 peratus atau 17,424 unit daripada jumlah keseluruhan 242,005 kenderaan daripada model tersebut.
Pencapaian itu agak memberangsangkan kerana versi transmisi manual hanya ditawarkan untuk varian Si atau Type R dan bukan sedan atau hatchback. Berikut senarai ranking 10 model transmisi manual paling laris di AS:
- Honda Civic: 7.2 peratus (17,424 unit)
- Subaru WRX: 86.7 peratus (16,115 unit)
- Volkswagen Golf GTI/R: 41 peratus/52 peratus (6,721 unit)
- Toyota GR86: 53 peratus (6,056 unit)
- Toyota Tacoma: 3 peratus (5,784unit)
- Mazda Miata: 70 peratus (5,762 unit)
- Toyota GR Corolla: 97 peratus (5,414 unit)
- Acura Integra: 19.8 peratus (4,831 unit)
- Volkswagen Jetta: 6 peratus (4,310 unit)
- Subaru BRZ: 77.8 peratus (2,602 unit)
Perlu ditekankan, data itu mungkin ada sedikit kekangan membabitkan statistik sebenar kerana ada pengeluar kenderaan tidak memberi data masing-masing untuk melengkapkan senarai tersebut.
Motor1 percaya Ford Mustang (foto atas kiri) dan Jeep Wrangler juga sepatutnya berada dalam senarai 10 teratas. Malah Porsche 911 juga patut dalam senarai itu.
Kekangan tersebut berlaku kerana Porsche hanya membekalkan penerimaan model manual untuk varian yang ada pilihan sistem transmisi lain dan bukan data spesifik merujuk model 911 dimaksudkan.
Volkswagen pula menjelaskan Golf GTI dan Golf R mendapat sambutan baik kerana tahun lalu ialah tahun terakhir mendapatkan versi manual untuk dua model tersebut.
SUMBER: Motor1
Leave a Reply