
PLATFORM e-panggil global, inDrive, mengumumkan pihaknya sudah menerima kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi di Malaysia selepas melengkapkan proses semakan pelesenan selama tiga bulan yang ditetapkan oleh agensi berkenaan.
Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, kelulusan itu membolehkan syarikat bergerak ke hadapan dengan lebih yakin dalam memastikan kestabilan operasi, bukan sahaja untuk pemandu dan penumpang, malah keseluruhan ekosistem mobiliti negara.
Sepanjang beberapa bulan lepas, kami telah memperkukuh setiap aspek sistem pematuhan. Kami menambah baik prosedur dalaman, mengetatkan pengesahan dokumen dan mempertingkatkan proses audit bagi memastikan hanya pemandu yang memenuhi semua keperluan kawal selia dibenarkan aktif di platform,” katanya.
Pematuhan Lesen dan Permit Jadi Keutamaan
Azlan menjelaskan setiap pemandu inDrive diwajibkan memiliki:
- Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah
- Perlindungan insurans e-panggil
- Kenderaan yang layak digunakan di jalan raya
Selain itu, pemandu hanya akan diaktifkan dalam aplikasi selepas Permit Kenderaan E-Panggil (EVP) diluluskan oleh APAD.
Hanya selepas semua kriteria ini dipenuhi dan EVP diluluskan, barulah pemandu akan diaktifkan dalam aplikasi kami,” katanya.
Pernah Diarahkan Henti Operasi
Untuk rekod, pada Mei lalu, APAD sudah mengeluarkan perintah supaya inDrive menghentikan operasi di Malaysia atas alasan ketidakpatuhan terhadap keperluan pelesenan, selepas mendapati sebahagian pemandu beroperasi tanpa lesen EVP dan PSV yang sah.
Bagaimanapun, platform itu dibenarkan menyambung semula operasi di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula Julai 2025, sebelum kelulusan penuh diberikan.
Hampir Capai 40,000 Pemandu Aktif
Susulan kelulusan tersebut, Azlan berkata inDrive akan terus memperkukuh operasinya di Malaysia melalui:
- Penambahbaikan proses pengambilan pemandu
- Pengesahan semula dokumen yang lebih ketat
- Audit dalaman berterusan
- Peluasan inisiatif sokongan kepada pemandu
Beliau berkata platform itu kini hampir mencapai sasaran 40,000 pemandu aktif di seluruh negara, selepas berjaya mendaftarkan kira-kira 95 peratus daripada sasaran tersebut.
Ketika ini kami mempunyai inisiatif pemerolehan mudah alih dengan memberi tumpuan kepada pemandu di kawasan kecil sekitar Lembah Klang, selain kiosk pengambilan pemandu di Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, inDrive sedang meneliti pelbagai inisiatif tambahan bagi meningkatkan jumlah pemandu di Malaysia bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply