PENGELUAR kenderaan elektrik (EV) dari China, iCAUR Malaysia terus mengukuhkan kedudukan dalam segmen EV berorientasi gaya hidup menerusi pelancaran rasmi pakej kit badan iCAUR V23 Retro Edition 2026.
Model itu didatangkan dengan pakej pengubahsuaian rasmi lengkap yang direka untuk menonjolkan semangat ‘Born to Play’.
Pakej Retro Edition itu ditawarkan pada harga RM22,000, yang membolehkan pemilik menukar V23 asal kepada sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) off-road elektrik dengan karakter klasik yang lebih menonjol.
Menambah tarikan sempena musim perayaan, iCAUR Malaysia turut memperkenalkan harga Istimewa Tahun Baru Cina, iaitu RM18,888 yang terhad kepada 88 set sahaja dalam masa terhad.
Tawaran itu terbuka kepada pemilik iCAUR V23 sedia ada dan pelanggan baharu, dengan tempahan dan pemasangan dilakukan secara profesional menerusi rangkaian pengedar sah iCAUR Malaysia seluruh negara.
Rekabentuk Retro Ilham Ikon Off-Road Klasik
Dibina berasaskan kejayaan pelancaran iCAUR V23 pada November 2025, kit badan retro direka khas untuk pemilik yang mahukan identiti visual lebih ekspresif dan nostalgik.
Rekabentuk diberikan mengekalkan siluet berkotak dan lasak V23, serta menggabungkan elemen klasik kenderaan off-road ikonik yang sinonim dengan ketahanan dan kebebasan pengembaraan.
Dari sudut kualiti, iCAUR Malaysia menawarkan waranti 12 bulan untuk pakej Retro Bodykit, manakala pemijak sisi (sidestep) bersepadu disertakan dengan waranti lanjutan hingga 18 bulan.
Ini memastikan pemilik bukan saja menikmati penampilan unik, tetapi juga ketenangan fikiran untuk penggunaan jangka panjang.
SUV EV Off-Road Segmen-C Pertama di Malaysia
iCAUR V23 kekal sebagai SUV EV segmen-C pertama di Malaysia dengan keupayaan off-road, sekali gus membezakan model itu daripada kebanyakan EV arus perdana di pasaran.
Model itu ditawarkan dalam dua pilihan varian bagi memenuhi keperluan dan gaya hidup berbeza.
Varian 2WD ditawarkan pada harga RM119,870, manakala varian iWD (Intelligent All-Wheel Drive) dengan keupayaan pacuan semua roda pintar dijual pada RM132,980 (atas jalan tanpa insurans).
Kedua-dua varian hadir dalam pilihan warna menarik seperti Off Road Orange (jingga), Khaki White (putih), Army Green (hijau), Slate Silver (perak),Gravel Grey (kelabu) dan Carbon Black (hitam), serta dipadankan kabin kulit hitam premium.
Harga, Waranti dan Pakej Pemilikan iCAUR V23
Bagi meningkatkan keyakinan pemilik, iCAUR Malaysia memberikan pakej penjagaan antara paling menyeluruh dalam industri EV tempatan. Setiap iCAUR V23 hadir dengan waranti kenderaan tujuh (7) tahun atau 150,000km, dan waranti bateri dan unit pacuan lapan (8 )tahun atau 160,000km.
Lebih menarik, iCAUR menawarkan waranri penggantian bateri satu-ke-satu (one-to-one) jika keadaan kesihatan (SoH) bateri jatuh bawah 70 peratus sepanjang tempoh waranti.
Selain itu, pemilik turut menerima kabel beban kepada kenderaan (V2L) dan pengecas mudah alih sebagai aksesori standard, dengan menegaskan fokus jenama terhadap praktikaliti dan nilai tambah.
Gaya Hidup ‘Born to Play’, Sasaran Pasaran EV Malaysia

Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin berkata, iCAUR V23 bukan sekadar kenderaan harian, tetapi juga pernyataan gaya hidup.
Pelancaran Retro Bodykit memberikan lebih banyak kebebasan kepada komuniti pemilik untuk menyerlahkan personaliti dan minat pengembaraan, tanpa menjejaskan kelebihan teknologi elektrik moden.
Menerusi tawaran Retro Edition itu, iCAUR bukan saja memperkukuh daya tarikan V23 dalam pasaran EV tempatan, tetapi meletakkan SUV EV off-road sebagai pilihan gaya hidup lebih luas yang menggabungkan rekabentukklasik, keupayaan lasak dan mobiliti sifar emisi.






































