
HONDA memperkenalkan EV kompak, Honda Super-N, yang dilakukan serentak di United Kingdom dan Jepun.
Di Jepun, model ini dikenali sebagai Honda Super-ONE dan dijadualkan mula dijual pada akhir Mei 2026. Sebelum pelancaran rasmi, Honda akan mula menerima tempahan awal di Jepun bermula Khamis, 16 April 2026.
Penjualan Honda Super-N di United Kingdom pula dijadualkan bermula Julai 2026.

Penawaran Super-N pada harga bawah 20,000 pound atau kira-kira RM106,735 dilihat berjaya memintas Volkswagen yang ketika ini sedang membangunkan EV mampu milik untuk pasaran Eropah.
Pembangunannya Super-N mengikut pendekatan Man-Maximum, Machine-Minimum (M/M) bagi memastikan aspek teknologi dan reka bentuk memenuhi keperluan pemandu serta penumpang.
Inspirasi Rekaan dan Platform

Asas kejuruteraan model ini menggunakan platform ringan daripada rangkaian kei-car Siri N yang popular di Jepun.
Dari sudut estetika, rekaannya mengambil inspirasi daripada model legenda tahun 1980-an iaitu City Turbo II.
Penampilan luaran yang menyerlah dibentuk oleh kedudukan yang lebar, bampar lebih besar serta saluran aero yang menangkap pandangan bagi memberikan gambaran prestasi pemanduan yang dinamik.

Pada bahagian dalaman, kerusi sport direka teliti untuk sokongan dan keselesaan yang lebih baik.
Ruang dalaman turut menerima kemasan biru khas sebagai tanda penghormatan kepada City Turbo II asal, manakala lampu ambien menerangi papan pemuka dengan cahaya biru sejuk pada waktu malam.
Warna lampu tersebut akan bertukar kepada warna ungu pekat apabila pemandu memilih Mod BOOST.

Prestasi dan Dinamik Pemanduan
Jurutera Honda telah menala sistem suspensi dan casis bagi memberikan prestasi dinamik yang lebih hebat dalam segmen EV kompak.
Pengujian ekstensif telah dijalankan di pelbagai keadaan permukaan jalan raya di Jepun dan United Kingdom untuk memastikan penentukurannya sesuai dengan keadaan pemanduan sebenar.

Satu ciri utama yang ditawarkan ialah Mod BOOST yang berfungsi meningkatkan output kuasa serta-merta. Bagi membangkitkan emosi pemanduan, sistem Active Sound Control akan menjana bunyi enjin simulasi yang menarik.
Ini digabungkan pula dengan transmisi simulasi tujuh kelajuan bagi memberikan maklum balas segera sebuah EV namun masih mengekalkan hubungan emosi pemanduan kenderaan enjin pembakaran dalaman.
Trenkuasa

Sistem pacuan Honda Super-N menggunakan unit e-Axle yang kompak dan cekap. Berat keseluruhan yang rendah menjadikannya antara EV paling ringan di Eropah, sekali gus menyumbang kepada dinamik pemanduan yang lincah dan mengujakan.
Kunci utama kepada pengalaman pemanduan yang mendebarkan ini adalah Mod BOOST yang berfungsi meningkatkan output kuasa daripada e-Axle tersebut dari 47 kW (64 ps) kepada 70 kW (95 ps) bagi menghamburkan potensi prestasi sepenuhnya.

- Motor elektrik tunggal kompak e-Axle
- Output kuasa 47 kW (64 ps) sehingga 70 kW (95 ps) melalui Mod BOOST
- Transmisi simulasi 7 kelajuan
- Jarak gerak elektrik mod bandar 320 km
- Jarak gerak gabungan 206 km



















