
HONDA memperkemas penawaran van komersial ringan mereka menerusi Honda N-VAN 2026, dengan fokus terhadap peningkatan keselamatan, kemudahan serta peluasan varian.
Model ini mula dijual di Jepun pada 20 Mac 2026, dan terus mengekalkan peranan sebagai antara model penting dalam keluarga N-Series sejak diperkenalkan pada 2018.
Selain model enjin pembakaran dalaman, Honda turut menawarkan versi EV N-VAN e: dengan bateri 29.6 kWj dan jarak sehingga 245 km.
Rekaan praktikal kekal jadi teras

N-VAN masih mengekalkan konsep praktikal yang menjadi identitinya, khusus untuk memenuhi keperluan pengguna kerja harian.
Ciri double big opening terus menjadi tarikan utama, dengan bukaan luas di bahagian sisi penumpang tanpa tiang tengah, satu keunikan dalam segmen van komersial ringan.
Digabungkan dengan pintu belakang bersaiz besar, ia memudahkan urusan keluar masuk barangan, selain menawarkan ruang kargo yang luas dan fleksibel.
Pada masa sama, rekaan kabin membolehkan ia digunakan bukan sahaja untuk kerja, tetapi juga aktiviti gaya hidup seperti perkhemahan dan memancing.
Ciri baharu – keselamatan dan kemudahan dipertingkat

Kemas kini kali ini memberi penekanan kepada peningkatan keselamatan serta pengalaman penggunaan harian. Honda menambah baik beberapa elemen penting bagi memastikan pemanduan lebih selamat dan praktikal.
Antara penambahbaikan yang diperkenalkan:
- Sensor parkir hadapan kini standard
- Sistem brek selepas pelanggaran (post-collision braking)
- Paparan meter baharu TFT LCD 7-inci dengan paparan lebih jelas
- Port USB dinaik taraf daripada Type-A ke Type-C (varian FUN)
- Fungsi penindasan pecutan mengejut (varian G dan L)
- Suis penghidup enjin jenis tekan butang (varian G dan L)
Sistem bantuan pemandu Honda SENSING terus ditawarkan sebagai kelengkapan standard untuk semua varian.
Varian FUN kini ada pilihan turbo, NATURE STYLE diperluas

Perubahan paling ketara melibatkan varian FUN, termasuk edisi khas berimej outdoor yang kini dikenali sebagai NATURE STYLE (nama baharu daripada FUN Special Edition STYLE+ NATURE).
Buat pertama kali, Honda memperkenalkan pilihan enjin turbo untuk varian ini, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna yang mahukan prestasi tambahan.
Selain itu, pilihan warna turut diperluas dengan penambahan:
- Autumn Yellow Pearl
- Botanical Green Pearl
Turut ditawarkan warna lain seperti Platinum White Pearl, Sonic Gray Pearl dan Nighthawk Black Pearl, dengan warna khas dikenakan caj tambahan.

Trenkuasa NA dan Turbo
Semua varian N-VAN menggunakan enjin S07B 660cc DOHC 3-silinder dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI.
Bagi versi naturally aspirated (NA), enjin ini menghasilkan 53 PS pada 6,800 rpm dan 64 Nm pada 4,800 rpm.
Untuk varian turbo pula, kuasa meningkat kepada 64 PS pada 6,000 rpm dengan tork maksimum 104 Nm pada 2,600 rpm.
Pilihan transmisi terdiri daripada CVT atau manual 6-kelajuan (6MT), manakala sistem pacuan ditawarkan dalam konfigurasi pacuan hadapan (FF) atau 4WD. Varian turbo hanya dipadankan dengan transmisi CVT.
Kapasiti tangki bahan api adalah 27 liter untuk model FF dan 25 liter bagi varian 4WD.
Dimensi
Dari segi saiz, N-VAN mengekalkan dimensi kompak tipikal kei car, namun masih menawarkan ruang dalaman yang praktikal.
- Panjang / Lebar / Tinggi: 3,395 mm / 1,475 mm / 1,945 mm (FF) / 1,960 mm (4WD)
- Jarak roda: 2,520 mm
- Kelegaan tanah: 150 – 155 mm
Varian dan Harga Honda N-VAN 2026
- G: ¥1,498,200 (RM37,260) (FF/CVT & 6MT), ¥1,643,400 (RM40,870) (4WD)
- L: ¥1,648,900 (RM41,020) (FF), ¥1,794,100 (RM44,610) (4WD)
- FUN: ¥1,900,800 (RM47,280) (FF), ¥2,046,000 (RM50,890) (4WD)
- FUN Turbo: ¥2,024,000 (RM50,330) (FF), ¥2,169,200 (RM53,940) (4WD)
- FUN Special Edition NATURE STYLE: ¥2,000,900 (RM49,760) (FF), ¥2,146,100 (RM53,370) (4WD)
- FUN Turbo Special Edition NATURE STYLE: ¥2,124,100 (RM52,820) (FF), ¥2,269,300 (RM56,430) (4WD)
Dengan kemas kini terbaru, Honda N-VAN 2026 tampil lebih lengkap hasil daripada peningkatan keselamatan, kemudahan serta pilihan enjin turbo, menjadikannya bukan sahaja praktikal untuk kegunaan komersial, tetapi juga relevan untuk pengguna gaya hidup aktif.


















