HONDA Sensing ialah salah satu ciri keselamatan ditawarkan Honda City RS, iaitu varian premium dalam barisan famili City serba baharu yang baru saja dibuka pratempahan.
BACA >>> Honda City RS Sah Ada Honda Sensing!
Apakah itu HondaSensing?
Honda Sensing ialah teknologi bantuan pemandu pertama yang diperkenalkan Honda. Di Malaysia, ciri ini sudah diperkenalkan pada model atasan seperti Odyssey, Accord, CR-V dan Civic. Malah Malaysia menjadi negara pertama dunia mendapat kunjungan CR-V dengan Honda Sensing pada 2017.
Jadi tidaklah hairan kalau City RS (dengan ciri Honda Sensing) menjadi satu lagi model Honda yang melakukan debut global di Malaysia.
Jika mengambil kira spesifikasi CR-V (2017), teknologi Honda Sensing model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu terdiri daripada tujuh ciri bantuan pemanduan seperti berikut:
- Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control, ACC)
- Jejak Kelajuan Rendah (Low-Speed Follow, LSF)
- Sistem Amaran Perlanggaran Depan (Front Collision Warning, FCW)
- Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (Collision Mitigation Braking System, CMBS)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keeping Assist System, LKAS)
- Mitigasi Tukar Lorong (Road Departure Mitigation, RDM)
- Amaran Tukar Lorong (Lane Departure Warning, LDW)
Berikut perincian mengenai tujuh ciri utama Honda Sensing itu:
ACC dan LSF memudahkan pemandu memandu jarak jauh atau santai seperti di lebuh raya. Kedua-dua sistem itu membolehkan pemandu membrek dan memecut kembali pada kelajuan ditetapkan ACC secara automatik dan boleh berfungsi bermula dari keadaan lalu lintas henti-gerak, hingga kelajuan 180kmj.
FCW dan CMBS pula membantu pemandu mengelak rempuhan dari depan. Sistem FCW akan mengeluarkan amaran jika mendapati ada sebarang potensi berlaku perlanggaran dari arah depan, manakala CMBS berfungsi membrek automatik jika pemandu dikesan tidak memberikan sebarang respon untuk mengelak perlanggaran tersebut.
LKAS, RDM, dan LDW pula disepadukan bagi meminimumkan risiko kemalangan bahagian sisi. Sistem LDW dibina untuk mengesan garisan jalan di kiri dan kanan kereta. Amaran visual dan getaran stereng akan dikeluarkan jika pemandu dikesan melanggar garisan jalan tanpa memberikan signal membelok.
Sistem LKAS berfungsi membetulkan posisi stereng bagi memastikan pemanduan kereta kekal dalam lorong. Terdapat kamera sebagai sensor diletakkan di sisi kereta bagi mengesan sebarang tanda atas permukaan jalan bagi mengekalkan kedudukan pemanduan yang tepat.
Sistem RDM pula diaktifkan apabila kereta menghampiri tepi jalan ketika dipandu dalam kelajuan 72kmj hingga 180kmj. Fungsinya, roda stereng akan bergetar sebagai amaran dan jika pemandu tidak memberikan sebarang reaksi, kereta akan cuba keluar dari lorong dan sistem Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA) akan diaktifkan untuk mengembalikan semula kedudukan kenderaan.
Walaupun Honda Malaysia belum menyebut tentang ciri Honda Sensing pada City RS, apatah lagi memperincikannya, tetapi kita sudah tentu boleh membayangkan model sedan subkompak itu akan memiliki apa yang dimiliki Accord, CR-V dan Civic.
Selain Honda Sensing, City RS juga dibekalkan ciri Honda LaneWatch yang akan membantu pemandu pantau kawasan titik buta ketika memandu.
BACA >>> #PanduUji: Inilah Sebab Kenapa Saya Pilih Honda CR-V Baharu Versi Premium
Leave a Reply