
PELUMBA Formula Satu (F1), Max Verstappen sekali lagi mengulangi pendiriannya terhadap peraturan baharu 2026 dalam sukan berprestij tersebut. Pelumba Belanda itu menegaskan bahawa F1 perlu kekal dengan identitinya sendiri dan tidak menghampiri konsep perlumbaan yang diamalkan dalam Formula E, electric single seater series.
Sebelum ini ketika ujian pramusim di Bahrain, Verstappen melabelkan set peraturan baharu itu sebagai “anti-racing” dan menyifatkannya seperti “Formula E on steroids”, kenyataan yang segera mencetuskan perdebatan dalam paddock.
Enjin 2026: Lebih Elektrik, Kurang Bunyi Tradisional?

Bermula 2026, unit kuasa F1 akan menggunakan nisbah hampir 50-50 antara enjin pembakaran dalaman dan tenaga elektrik. Ini bermakna strategi pengurusan tenaga bateri dan sistem pemulihan tenaga akan memainkan peranan lebih besar sepanjang perlumbaan.
Terdapat kebimbangan bahawa pemandu mungkin perlu memperlahankan jentera di laluan lurus atau menukar gear untuk menjimatkan tenaga, situasi yang sering dilihat dalam Formula E, di mana pelumba sengaja berundur untuk menyimpan bateri sebelum membuat serangan pada saat-saat akhir.
Verstappen: Biarlah FE Jadi FE, F1 Kekal F1
Pelumba Oracle Red Bull Racing Formula 1 itu menolak idea F1 bergerak ke arah yang sama. Baginya, peningkatan kebergantungan terhadap bateri boleh mengubah karakter asas perlumbaan Grand Prix.
Menurut Verstappen, F1 sepatutnya memberi fokus kepada enjin yang mantap dan pengalaman pemanduan tulen, manakala Formula E wajar kekal dengan identiti elektrik sepenuhnya. Beliau turut mengakui kereta generasi baharu FE menarik, namun kedua-dua kejuaraan perlu mempunyai haluan berbeza tanpa mencampuradukkan konsep.
Pendapat Berbeza Dalam Grid
Pandangan Verstappen bukanlah suara tunggal dalam isu ini. Juara dunia bertahan, Lando Norris, misalnya menyifatkan jentera baharu sebagai menyeronokkan untuk dipandu.
Verstappen pula menegaskan bahawa beliau sekadar berkongsi pendapat peribadi apabila ditanya media, dan berpendapat setiap pelumba berhak menyuarakan pandangan masing-masing mengenai hala tuju sukan tersebut.
Peraturan 2026 Terus Cetus Perdebatan

Perubahan besar yang bakal dilaksanakan jelas membahagikan komuniti F1. Ada yang melihatnya sebagai langkah penting ke arah teknologi lebih lestari, manakala sebahagian lagi bimbang ia mengubah DNA perlumbaan.
Apa pun, musim 2026 bakal menjadi titik perubahan penting dalam sejarah F1. Sama ada pendekatan baharu ini akan memperkayakan aksi atau mencetuskan lebih banyak kritikan, hanya masa yang akan menentukan.
SUMBER: Motorsport.com








