![]()
BMW Group Malaysia mencipta sejarah baharu dalam landskap automotif tempatan dengan memperkenalkan i5 eDrive40 M Sport Pro Serba Baharu, model BMW serba elektrik pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) dan di rantau Asia-Pasifik. Pelancaran ini menandakan fasa baharu komitmen BMW Group Malaysia dalam memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik premium di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel, pemasangan tempatan BMW i5 bukan sekadar pencapaian teknikal, malah bukti kemajuan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi dan pembuatan kenderaan elektrik. Dengan tanda harga bawah RM400 ribu, model sedan eksekutif ini direka untuk kegunaan profesional dan peribadi, menggabungkan keselesaan, prestasi serta teknologi pintar terkini.
Reka Bentuk Elegan dengan Sentuhan M Sport
BMW i5 eDrive40 M Sport Pro CKD tampil dengan identiti visual moden dan sporty. Bahagian hadapan diserlahkan oleh BMW Iconic Glow Shadowline kidney grille, digandingkan dengan lampu hadapan LED Adaptif rekaan baharu. Profil sisi yang memanjang disempurnakan dengan rim aerodinamik M 20 inci, manakala bahagian belakang menampilkan lampu LED langsing dan spoiler M berkemasan hitam berkilat.
Ruang kabin pula menonjolkan pendekatan digital sepenuhnya menerusi BMW Curved Display yang menggabungkan paparan instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5. Kemasan dalaman menggunakan upholsteri kulit Merino BMW Individual, gentian karbon, BMW Interaction Bar serta sistem bunyi premium Bowers & Wilkins 655 watt.
Prestasi Elektrik dan Jarak Pemanduan
Dikuasakan oleh motor elektrik pacuan belakang, BMW i5 eDrive40 M Sport Pro menjana 250 kW (340 hp) dan 430 Nm, membolehkan pecutan 0–100 kmj dalam 6.0 saat. Bateri voltan tinggi bersama teknologi BMW eDrive generasi kelima memberikan jarak pemanduan antara 513 hingga 627 km (WLTP).
Dari segi pengecasan, sedan elektrik ini menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW (0–100% dalam 4 jam 15 minit) serta pengecasan pantas DC sehingga 205 kW, membolehkan bateri dicas dari 10–80% dalam hanya 34 minit.
Harga dan Waranti

BMW i5 eDrive40 M Sport Pro Serba Baharu CKD ditawarkan pada harga RM368,800 (atas jalan tanpa insurans). Ia hadir dengan BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) selama lima tahun tanpa had perbatuan, enam tahun servis BEV tanpa had perbatuan, serta waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun.


























Leave a Reply