MINYAK biodiesel B100 berasaskan sawit tulen kini dilihat berpotensi menjadi alternatif lebih kompetitif kepada diesel konvensional, sekali gus membantu menstabilkan kos bahan api dan memperkukuh keselamatan tenaga negara.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, biodiesel B100 adalah antara biodiesel pertama dunia yang tidak melibatkan campuran bahan api fosil, berbeza campuran semasa seperti B7, B10 dan B20.
Kos Kini Lebih Rendah Berbanding Diesel Industri

Sebelum ini, penggunaan B100 sering dilihat dari sudut kelestarian kerana sifatnya yang lebih bersih dan boleh diperbaharui, tetapi kos pengeluaran tinggi menjadi halangan utama.
Kini, situasi global yang berubah menjadikan B100 lebih relevan apabila kos pengeluaran dianggarkan sekitar RM4.40 hingga RM4.50 seliter, lebih rendah berbanding diesel industri yang kini mencecah sekitar RM7 seliter.
Dalam krisis global hari ini, B100 menawarkan jawapan baharu kerana kosnya kini lebih kompetitif berbanding diesel di pasaran,” katanya dalam sidang media di Menara Felda.
Potensi Jimat Kos untuk Industri

Perbezaan harga itu membuka ruang penjimatan besar untuk sektor yang sangat bergantung kepada diesel seperti pengangkutan, perikanan dan industri berat.
Menurut beliau, penggunaan biodiesel secara meluas mampu mengurangkan kos operasi syarikat dan pada masa sama membantu mengurangkan tekanan subsidi bahan api yang kini dianggarkan sekitar RM6 bilion sebulan, berbanding hanya RM700 juta sebelum ini.
Kapasiti Sawit Negara
Malaysia menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO) setiap tahun, yang secara teori cukup untuk menampung keperluan diesel domestik.
Namun, cabaran utama ketika ini adalah dari segi kapasiti pemprosesan dan permintaan pasaran yang sebelum ini masih rendah, menyebabkan banyak loji beroperasi di bawah kapasiti optimum.
Cadangan Naikkan Campuran kepada B20 atau B30

Ahmad Shabery turut mencadangkan Kerajaan menaikkan kadar campuran biodiesel di stesen minyak secara berperingkat daripada B10 kepada B20 atau B30.
Langkah itu dilihat sebagai pendekatan lebih praktikal sebelum penggunaan B100 dipeluas secara menyeluruh di pasaran.
Felda Mula Projek Rintis
Sebagai langkah awal, Felda akan mula menggunakan B100 dalam seluruh ekosistem sebagai projek rintis. Ujian yang dijalankan selama 15 bulan dan 50,000km menunjukkan tiada isu besar, sekali gus membuktikan bahan api tersebut praktikal dan selamat digunakan.
Selari Sasaran Karbon Sifar 2050
Penggunaan B100 juga selari komitmen Malaysia bawah Perjanjian Paris, dan sasaran mencapai emisi sifar karbon menjelang 2050.
Dengan kemampuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan berbanding diesel fosil, B100 berpotensi menjadi elemen penting dalam peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon.
SUMBER: TheStar









