PAMERAN Motor Antarabangsa Bangkok (BIMS) 2026 menutup tirai dengan angka tempahan memberangsangkan apabila mencatat 132,951 tempahan kenderaan dan 2,056 motosikal sepanjang pameran berlangsung.
Acara selama 12 hari dari 25 Mac – 5 April di Muang Thong Thani, Nonthaburi itu turut menarik kira-kira 1.8 juta pengunjung, sekali gus menunjukkan keyakinan pasaran automotif Thailand yang semakin pulih.
BYD Tangga Teratas

Timbalan Ketua Penganjur, Chaturon Komolmit berkata, jumlah tempahan diterima mencerminkan kuasa beli pengguna yang kembali kukuh.
Jenama kenderaan elektrik dari China, BYD muncul sebagai pengeluar paling laris dengan 17,354 unit tempahan, disusuli Toyota (15,750 unit) dan Omoda & Jaecoo (15,088 unit).
Jenama China Terus Mendominasi

Selain BYD, beberapa jenama dari China turut menunjukkan prestasi jualan yang sangat kuat sepanjang pameran.
Antaranya MG dengan 10,537 unit tempahan, disusuli Deepal + Nevo (8,573 unit) dan Geely (7,811 unit), menandakan momentum EV dan model baharu dari China terus mendapat sambutan di rantau Asean.
EV Semakin Popular, ICE Masih Relevan
Penganjur memaklumkan, model EV dari pengeluar Asia dan Eropah semakin banyak ditayangkan pada edisi kali ini.
Namun, model enjin pembakaran dalaman (ICE) masih kekal mendapat perhatian, terutama dalam segmen kenderaan pelbagain guna (MPV) dan trak pikap, yang terus menjadi pilihan utama pembeli Thailand.
Petanda Positif untuk Pasaran Asean

Prestasi BIMS 2026 turut memberi gambaran positif kepada pasaran automotif serantau, termasuk Malaysia, terutama dengan peningkatan minat terhadap EV dan kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarga.
Dengan angka tempahan melepasi 135,000 unit secara keseluruhan, acara itu sekali lagi membuktikan Thailand kekal sebagai antara hab automotif terpenting di Asia Tenggara.
SUMBER: BangkokPost










