
PAKAR pengubahsuaian kenderaan terkemuka dari Britain, Urban Automotive memperkenalkan program penggayaan gentian karbon eksklusif Widetrack untuk Lamborghini Urus SE.
Penampilan sulung model yang diberikan nafas baharu ini dilakukan secara serentak di dua lokasi iaitu di fasiliti pengeluaran Urban Automotive di Milton Keynes, UK dan juga di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Langkah melancarkan model ini secara serentak di dua buah negara merupakan pencapaian penting rancangan pelan pengembangan antarabangsa Urban Automotive.

Las Vegas menjadi lokasi pilihan bagi kemunculan sulung Lamborghini Urus SE Widetrack di Amerika Syarikat.
Selain statusnya sebagai tuan rumah pameran SEMA, bandar ini turut berkongsi budaya kereta yang berani dan menonjol bersama Los Angeles.
Untuk pelancaran ini, jentera tersebut tampil memukau dalam balutan premium Inozetek Gloss Pearlescent Pearl Marigold Orange.
Falsafah Reka Bentuk OEM+

Urban Automotive menggunakan falsafah OEM+ dalam melakukan penggubahan terhadap SUV berprestasi tinggi Lamborghini ini.
Proses reka bentuk dan pembangunan model ini memakan masa selama 10,000 jam bagi memastikan setiap perincian adalah tepat.
Reka bentuknya juga mengambil inspirasi dan merujuk secara halus kepada beberapa model ikonik daripada sejarah warisan Lamborghini.

Setiap permukaan luaran pada Urban Urus SE Widetrack telah diperhalusi dan dipertingkatkan menggunakan komponen gentian karbon tempahan khas yang dihasilkan secara dalaman.
Hasil kerja tangan ini bertujuan menjadikan kenderaan ini kelihatan lebih berkuasa dan menarik secara visual berbanding model standard keluaran kilang.
Perincian Luaran Gentian Karbon

Pada bahagian hadapan, kenderaan ini dilengkapi dengan splitter gentian karbon tiga bahagian yang disertakan dengan sirip hujung canard.
Bahagian bonet pula digantikan dengan unit gentian karbon yang menampilkan reka bentuk liang bull nose berfungsi.
Rekaan ini diinspirasikan secara langsung daripada model Lamborghini Aventador SVJ, di mana corong masuk dan keluar udara dihasilkan melalui cetakan 3D dengan kemasan corak Hex ikonik Lamborghini.
Profil sisi menonjol dengan pemasangan gerbang roda Widetrack gentian karbon enam bahagian yang melebarkan badan Urus sebanyak 40 mm.

Panel sisi gentian karbon yang baharu turut menampilkan hiasan cetakan 3D dengan logo UA di dalam corak Hex.
Selain itu, sambungan ambang bawah daripada gentian karbon terdedah direka sebagai penghormatan kepada salur masuk udara pada model Miura.
Bahagian Belakang dan Sistem Ekzos

Bahagian belakang Urus SE menampilkan bampar gentian karbon baharu dengan difuser dua liang serta sirip hujung canard yang berasingan.
Bagi melengkapkan aspek aerodinamik, sebuah spoiler gentian karbon visual dipasang pada bahagian atas spoiler asal bagi menghasilkan kesan aero double stacked yang dramatik, lengkap dengan plat hujung yang membawa logo UA.

Sistem ekzos pula menggunakan unit quad billet dengan perincian aksen luaran untuk memberikan impak visual dan bunyi yang lebih menyerlah.
Untuk melengkapkan gaya, Urus ini dipadankan dengan rim Urban-Vossen UV-1R yang direka khusus untuk mengisi ruang pada gerbang roda yang telah dilebarkan.
Harga dan Pilihan Pelanggan

Program penukaran penuh Urban Widetrack untuk Lamborghini Urus SE ini ditawarkan pada harga bermula dari £51,800 (RM276,456) termasuk kos pemasangan.
Selain daripada perubahan luaran, pelanggan juga diberi pilihan untuk menempah ruang dalaman khas dengan pelbagai pilihan warna dan bahan mengikut citarasa dan keperluan peribadi masing-masing.







































