
JENAMA motosikal, Aveta Motor Malaysia mengumumkan ketibaan versi terbaharu Vanguard 250 yang menerima penambahbaikan menyeluruh dan akan mula berada di pasaran tempatan bermula awal Mac 2026.
Sejak diperkenalkan, Vanguard 250 bukan sekadar sebuah skuter 250cc biasa. Ia membentuk identiti tersendiri dalam kategori Adventure Touring Crossover (ATC), ia menggabungkan keselesaan perjalanan jauh, rekaan berinspirasikan jentera pengembaraan serta kepraktisan untuk kegunaan harian dalam bandar.
Evolusi Berdasarkan Maklum Balas Penunggang

Menurut Aveta, kemas kini kali ini bukan sekadar penambahbaikan kosmetik. Setiap perubahan dibangunkan hasil penelitian maklum balas komuniti penunggang, sesi pertemuan pemilik, konvoi rasmi serta laporan selepas jualan daripada rangkaian pengedar seluruh negara.
Pendekatan ini memperlihatkan strategi Aveta yang mahu memastikan Vanguard terus relevan dengan keperluan sebenar pengguna, sama ada untuk ulang-alik kerja atau ekspedisi hujung minggu.
10 Penambahbaikan Utama Vanguard 250 Baharu

Model dipertingkatkan ini hadir dengan 10 naik taraf yang memberi fokus kepada keselesaan, keselamatan dan praktikaliti:
1. Skrin TFT 7-Inci Dengan Fungsi SentuhanPaparan digital lebih moden dan interaktif untuk akses maklumat tunggangan yang lebih mudah.
2. Cermin Hadapan Larasan Elektrik

Pelindung angin boleh dilaras secara elektronik bagi menyesuaikan tahap perlindungan ketika perjalanan jauh.
3. Suis Kawalan Rekaan Baharu
Operasi lebih ergonomik dan responsif ketika menunggang.

4. Pelindung Ekzos Lebih Panjang
Perlindungan haba tambahan khususnya untuk keselesaan pembonceng.

5. Penutup Enjin Direka Semula
Memudahkan kerja penyelenggaraan dan meningkatkan kemudahan pemilikan jangka panjang.
6. Tapak Kaki Pembonceng Dipertingkatkan
Memberikan posisi lebih stabil dan selesa untuk perjalanan jarak jauh.
7. Ruang Simpanan Bawah Tempat Duduk Lebih Praktikal
Kini mampu memuatkan helmet jenis full-face, menjadikannya lebih versatil untuk kegunaan harian.
8. Tempat Duduk Baharu
Rekaan ergonomik untuk keselesaan lebih baik serta keyakinan tambahan ketika berhenti.

9. Penyerap Hentak Belakang Boleh Laras
Memberi fleksibiliti mengikut berat penunggang dan beban, sekali gus meningkatkan kestabilan.
10. ABS, TCS Boleh Nyahaktif
Sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan cengkaman (TCS) kini boleh ditutup bagi memberi lebih kawalan dalam situasi tertentu termasuk tunggangan santai atau laluan kurang mencengkam.

Warna Baharu & Harga
Vanguard 250 versi terkini ini ditawarkan dalam dua warna baharu:
- Nano Green
- Desert Bronze
Harga jualan asas ditetapkan pada RM16,688, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Unit akan mula tersedia di pengedar sah seluruh negara bermula awal Mac 2026.























