AUDI memperkenalkan model edisi khas Audi RS 3 Competition Limited 2026 sempena meraikan ulang tahun ke-50 enjin 5-silinder turbo ikonik jenama dari Ingolstadt itu.
Model itu dibangunkan sebagai tribut kepada antara enjin Audi paling terkenal yang menjadi sebahagian penting sejarah prestasi jenama tersebut.
Edisi khas itu dibina berasaskan model RS 3 sedan dan hatchback, iaitu dua model terakhir dalam barisan Audi yang masih menggunakan enjin 5-silinder legenda tersebut.
Rekabentuk Lebih Agresif, Eksklusif
Bagi menonjolkan identiti edisi istimewa, Audi RS 3 Competition Limited 2026 menerima beberapa peningkatan rekabentuk seperti bampar depan lebih agresif dengan elemen aerodinamik tambahan bagi meningkatkan daya mendap (downforce).
Bahagian sisi dilengkapi sil sisi yang dipanjangkan dan difuser belakang gentian karbon dengan paip ekzos besar, termasuk dipadankan rim khas 10-jejari silang 19 inci warna Matte Neodymium Gold (emas kusam).
Audi turut menawarkan tiga warna eksklusif: Malachite Green Finish (hijau), Daytona Gray (kelabu) dan Glacier White Matte (putih).
Enjin 5-Silinder 2.5L Turbo, 400hp
Di bawah bonet, Audi RS 3 Competition Limited 2026 masih mengekalkan enjin 5-silinder 2.5L turbo yang menghasilkan output kuasa 400hp dan tork 500Nm.
Enjin yang dikenali secara dalaman sebagai EA855 R5 itu turut digunakan pada model TT RS sebelum ini.
Enjin tersebut membolehkan pecutan 0 – 100kmj dicapai dalam masa kurang 4 saat dengan konfigurasi pembakaran unik 1 – 2 – 4 – 5 – 3 menghasilkan deruman enjin unik yang menjadi identiti model 5-silinder Audi sejak era rali Group B.
Suspensi, Pengendalian Dipertingkat
Audi RS 3 Competition Limited 2026 turut menerima beberapa penambahbaikan pada casis seperti sistem suspensi koilover khas yang boleh dilaras mengikut situasi pemanduan.
Model itu juga dilengkapi stabilizer belakang baharu, dan brek karbon seramik dari kilang bagi meningkatkan keupayaan membrek dan pengendalian keseluruhan.
Pengeluaran Terhad 750 Unit
Audi hanya menghasilkan 750 unit Audi RS 3 Competition Limited 2026 seluruh dunia, dan dijadualkan mula dijual di Eropah dalam masa terdekat.
Harga bermula €102,680 (RM465,420) untuk versi sedan dan €100,680 (RM456,350) bagi hatchback, yang menjadikan model itu antara varian Audi RS 3 paling eksklusif pernah ditawarkan Audi.
SUMBER: GearPatrol.com

























