ISU yang hangat diperkatakan sekarang ialah keputusan pasukan PETRONAS Sprint Racing Team (PSRT) menggugurkan Khairul Idham Pawi (KIP) sebagai pelumba Moto3 musim depan.
Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, kami terkejut dengan reaksi ramai peminat sukan permotoran tanah air yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan keputusan berkenaan. Malah, ada tergamak mengeluarkan komen berbaur politik dan perkauman.
Tambah lagi, PSRT atau PETRONAS dituduh sebagai tidak patriotik dan mengabaikan nasib pelumba tempatan. Ada juga menuduh pasukan itu seperti kacang lupakan kulit selepas mendapat khidmat Khairul Idham yang terkenal dengan julukan 'Super KIP'.
Baiklah, mari kita kaji rekod perlumbaan pelumba asal Batu Gajah, Perak itu dahulu dan bincangkan sebab kontraknya tidak diperbaharui.
BACA >>> Petronas SRT Tamatkan Kontrak KIP, Tapi Ada Peluang Kalau Tunjuk Keputusan Positif
Rekod Perlumbaan KIP
Super KIP dilahirkan pada 1998, dan tahun ini berusia 22 tahun. Berikut pencapaian yang pernah diraih pelumba itu:
- 2012 - Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Kelas WIRA, tempat ke-11
- 2013 - Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Kelas WIRA, tempat ke-7
- 2013 - Kejuaraan Asia Dream Cup, tempat ke-4
- 2014 - Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Kelas WIRA, tempat pertama
- 2014 - Kejuaraan Asia Dream Cup, tempat pertama
- 2015 - Kejuaraan FIM CEV Moto3 Junior, tempat ke-6
Pasukan pada masa itu, Honda Team Asia juga memasukkan Super KIP sebagai pelumba 'Wildcard' untuk Moto3 yang berlangsung di Aragon, Sepanyol. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-25 tanpa sebarang mata.
2016 - Kejuaraan Dunia Moto3, Tempat ke-19, 62 Mata
Super KIP menjadi pelumba Grand Prix (GP) sepenuh masa dalam aksi Moto3 2016. Di sinilah beliau mengejutkan dunia apabila memenangi pusingan kedua musim itu di GP Argentina yang berlangsung dalam trek basah akibat hujan. Super KIP juga menjadi penunggang Malaysia pertama memenangi perlumbaan GP dengan memecahkan rekod juara GP bukan Eropah paling muda.
Super KIP kemudian menghabiskan perlumbaan di tempat ke-20, 14 dan satu lagi ke-14 dalam tiga aksi seterusnya. Namun, gagal menghabiskan tiga perlumbaan berturut-turut.
Bagaimanapun, Super KIP menang pusingan seterusnya di Jerman. Sekali lagi dia menjadi juara dalam trek basah dan ketika hujan hingga dikenali pemerhati sebagai pelumba pakar hujan (wet weather specialist).
Namun, dia masih gagal menamatkan perlumbaan pada posisi lebih tinggi daripada 19 dalam baki sembilan perlumbaan berikut, kecuali di Malaysia yang mana dia meraih tempat ke-8. Dia menamatkan saingan musim itu di kedudukan ke-19 dengan mengumpul 62 mata.
2017 - Kejuaraan Dunia Moto2, Tempat ke-27, 10 Mata
Namun, ramai berpendapat Super KIP memiliki bakat berlumba di peringkat antarabangsa dan apa diperlukan ialah pendedahan dan pengalaman. Jadi, pasukan Idemitsu Honda Team Asia membawa anak muda itu ke kelas Moto2 pada 2017, bergabung dengan Takaagi Nakagami (sekarang pelumba pasukan satelit MotoGP, LCR Honda ).
Pencapaian terbaik Super KIP ialah tempat ke-14 di GP Republic Czech dan ke-8 di GP San Marino. Secara keseluruhan, dia memungut 10 mata untuk menduduki tempat ke-27. Nakagami pula mengumpul 137 mata keseluruhan dan meraih tempat ke-7.
Penulis juga sempat menemu ramah Super KIP ketika berlangsung pusingan GP Malaysia dan dia pernah menyatakan kebimbangan mengenai ketidaksediaannya berlumba dalam kelas Moto2.
2018 - Kejuaraan Dunia Moto2, Tempat ke-30, 1 Mata
Super KIP tetap berlumba untuk pasukan sama pada 2018. Pencapaian terbaik ialah di tempat ke-15 di GP Perancis. Jadi, beliau hanya dapat meraih 1 mata daripada perlumbaan tersebut dan menamatkan musim MotoGP 2018 di tempat ke-30.
2019 - Kejuaraan Dunia Moto2, Tempat ke-30, 3 Mata
2019 menjadi tahun dibanggakan peminat sukan permotoran tempatan kerana PETRONAS bergabung dengan Sepang International Circuit (SIC) untuk membuka tiga pasukan baharu dalam setiap kelas Kejuaraan Dunia MotoGP, iatiu kelas premier MotoGP, Moto2 dan Moto3.
Antara matlamat penubuhan pasukan ini ialah memberikan peluang kepada anak tempatan untuk menonjolkan bakat. Mereka bukan saja mahu memberikan peluang kepada pelumba, tetapi juga tenaga kerja teknikal seperti mekanik, juruanalisis data, dan sebagainya.
Jadi, PSRT bersetuju mengambil Super KIP sebagai pelumba sulung dalam kelas Moto2.
Super KIP menamatkan perlumbaan GP Qatar di tempat ke-17, GP Argentina (ke-13) dan GP Amerika (ke-17). Malangnya, dia terjatuh pada sesi latihan pusingan seterusnya di GP Jerez, Sepanyol yang menyebabkan sebahagian jarinya terputus.
Sejak itu, Super KIP tidak dapat turut serta dalam pusingan perlumbaan seterusnya kerana terpaksa menjalani beberapa sesi pembedahan dan proses pemulihan. Sebagai ganti, PSRT menggantikan pelana beliau dengan pelumba lain seperi Mattia Passini, Jonas Folger, Bradley Smith dan pelumba negara, Adam Norrodin.
2020 - Kejuaraan Dunia Moto3, Tempat ke-31, 0 Mata, Baki 4 Perlumbaan
Memandangkan Super KIP mendapat keputusan lebih baik dalam kelas Moto3, dia diserapkan ke dalam PSRT untuk kelas itu pada Kejuaraan Dunia MotoGP tahun ini. Pasukan itu berharap beliau dapat menghabiskan setiap perlumbaan di bawah kedudukan ke-20. Bagaimanapun, keputusan diraih beliau ialah tempat ke-26, 22, 20, dan 22 untuk empat perlumbaan pertama.
Dalam perlumbaan keempat di Republik Czech, Super KIP terjatuh pada sesi kelayakan, sekali gus memburukkan lagi kecederaan lama.
Akibatnya, Super KIP terpaksa menarik diri daripada dua perlumbaan selepas itu sebelum kembali beraksi di pusingan GP San Marino. Di sini, beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-21. Pusingan seterusnya, dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-24, 24, 19, dan di ke-27 di GP Aragon yang baru saja berlangsung minggu lalu.
ANALISIS
Super KIP gagal menyerlah selepas dua musim bersama PSRT. Kami bukan mengecam dan tetap menyanjungnya sebagai pemenang GP pertama untuk Malaysia, malah semestinya lebih hebat berlumba berbanding kita semua.
Penulis juga pernah berkongsi litar dengan Super KIP pada majlis pelancaran RCV213V-S dulu. Mahu terkencing kami apabila dapat tahu kumpulan kami diketuai Super KIP atas trek basah!
Namun, siri perlumbaan profesional, apatah lagi GP peringkat dunia adalah tentang bisnes. Penaja-penaja setiap pasukan mengharapkan keputusan yang baik supaya nama, jenama atau produk mereka dapat didedahkan kepada penduduk dunia menerusi siaran televisyen atau media sosial.
Sebaliknya, penonton pula hendak beri perhatian kepada pemenang perlumbaan, atau sekurang-kurangnya pelumba barisan depan. Jadi, hanya saingan kelompok utama saja akan ditayangkan. Bak kata pepatah Inggeris, "Everyone loves a winner" (semua orang sukakan pemenang).
BACA >>> Yamaha YZF-R1 Petronas SRT Edisi Terhad Lancar di Eropah, Harga RM226k
Fakta ini membuatkan penaja tertanya-tanya sama ada wang dilaburkan itu berbaloi atau tidak jika seseorang pelumba tersebut berada di kelompok belakang.
Objektif utama mana-mana penaja adalah menambah jumlah pembeli produk atau perkhidmatan mereka, tetapi logo tidak kelihatan. Ramai kalangan kita meminati helmet Marc Marquez dan Valentino Rossi, tetapi seberapa ramai pula akan beli helmet Tito Rabat atau Stefan Bradl? Ingatlah pepatah pengasas Honda, mendiang Soichiro Honda, "Win on Sunday, sell on Monday" (menang pada Ahad, jual barang pada Isnin).
Kepada mereka yang mendakwa PSRT tidak patriotik, itu cuma tanggapan yang tiada hujah logik. Ramai tenaga kerja dalam pasukan itu ialah anak tempatan kita sendiri. Tetapi kita harus fikir adakah jiwa patriotik itu dapat memberikan hasil kepada pasukan atau tidak?
Setiap pasukan perlu membayar gaji, menyewa motosikal untuk berlumba, membeli alat ganti, dan membayar pelbagai kemudahan dan perkhidmatan lain. Adakah logik sesebuah pasukan mengekalkan seseorang pelumba (yang tidak perform) hanya kerana patriotik, tetapi kesannya gulung tikar?
Kalau mahu bercerita mengenai patriotisme, kenapa tiada satu pun pasukan utama daripada pengeluar Jepun dalam MotoGP menggunakan khidmat pelumba berbangsa Jepun? Setakat ini cuma ada Takaagi Nakagami dalam LCR Honda, itu pun pasukan satelit.
Ataupun, kenapakah PETRONAS Mercedes tiada pelumba Malaysia?
Sebagai makluman, mana-mana pasukan akan menamatkan khidmat seseorang pelumba jika dia gagal memberikan keputusan diharapkan. Bukan saja peringkat antarabangsa, tetapi juga peringkat tempatan seperti Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK).
Jasi, rasional pelana Super KIP diserahkan kepada pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder (foto atas) adalah kerana dia menunjukkan kebolehan berentap dalam pelumba barisan depan, termasuk mendapat sekali podium juara dan kedua setakat ini. Dia juga adik kepada pelumba KTM dalam kelas premier MotoGP.
Faktanya mudah, perlumbaan profesional memerlukan mana-mana individu, tanpa mengira status mereka, asalkan boleh 'perform'. Cukuplah kita berbangga melihat jenama Malaysia, PETRONAS berada atas podium dan kaca TV.
BACA >>> Valentino Rossi Sah ke Petronas Yamaha SRT Musim Depan!
PENUTUP
Kami ucapkan selamat maju jaya kepada Super KIP dan kami percaya dia masih ada peluang untuk lakukan sesuatu yang terbaik. Pada masa sama, kami harap lebih ramai anak muda tempatan dapat masuki dan sukses dalan kelas GP.
Selain itu, kami juga harap ramai anak muda tempatan kita mampu mengorak langkah berlumba secara halal. Mana tahu ada rezeki jadi pelumba bertaraf dunia suatu masa nanti.
Shahrul says
Ya Betul 100% setuju,,PSRT,,dh byk bagi peluang pada Superkip target pencapaian utk Superkip pun realistik,,semoga Superkip dpt bangkit kembali,,
ryu says
fizikal n mental must strong to consistent all race...team want rider to compete for title in most expensive investment..copy paste all ktm rider.