KIRA-kira setahun lalu di Auto Expo India 2018, Aprilia memperkenalkan pasangan jentera 150cc sulung, RS150 dan Tuono 150 yang kononnya bakal dipasarkan dalam masa terdekat di negara Asia Selatan itu. Namun sampai sekarang, tiada langsung kelibat salah satu jentera itu di atas jalan. Bagaimanapun, gambar yang kami terima daripada pembaca menunjukkan Aprilia mungkin ada rancangan berbeza.
Sekilas pandang, nampak hampir sama seperti RS150 yang kami dedahkan sebelum ini. Namun, kalau anda masih ingat, RS150 mempunyai rekabentuk hampir mirip 'abangnya' RSV4 1100, dengan tiga lampu di depan dan bahagian ekor tirus. Jika tidak ingat, boleh rujuk semula pautan di bawah ini:
BACA >>> #AutoExpo2018: Debut Aprilia RS150 dan Tuono 150 Buat Hati Berdebar
Sebaliknya, gambar diterima ini menunjukkan ia model dua lampu depan dengan skup udara dan lampu siang (DRL) terselit di tengah, manakala segmen ekor lebih lebar. Kedua-dua elemen itu mengingatkan kami kepada superbike Aprilia pra-V4 iaitu RSV1000.
Selepas diselidik, rupa-rupanya model ini ialah produk kerjasama Aprilia dan pengeluar motosikal China, Zongshen. Jika tidak tahu, produk Zongshen sudah ada di Malaysia, tetapi dipasarkan di bawah jenama KTNS seperti model advencer 250cc popular, KTNS RS3.
Bagi model sportbike ini pula, ia tidak lagi membawa nama RS, sebaliknya diberikan nama baru, Aprilia GPR150. Bagaimanapun, selain rekabentuk fairing, hampir tiada perubahan mekanikal berbanding RS150 yang ditayangkan dulu.
GPR150 masih mengekalkan enjin 4-lejang silinder tunggal 150cc dengan output kuasa maksimum yang menurut pengeluar, 18hp.
Suspensi depan masih jenis teleskopik terbalik (USD) dengan monoshock bersama swingarm banana di belakang. Dari segi kuasa henti, sistem brek cakera tunggal besar digunakan bersama kaliper jenis radial. Pun tiada perbezaan ketara pada frem dan enjin, cuma sedikit tambahan logo Aprilia pada kulit enjin pada sisi kanan.
Dari segi elektronik, tidak dapat disahkan sama ada sistem ABS daripada Bosch dikekalkan atau tidak. Namun, panel meter nampaknya sudah diubah, dan kini menggunakan panel Koso (jenama meter aftermarket popular).
Tentang harga, GPR150 ditawarkan di China pada tanda harga CN¥20,080 (RM12,205). Hampir sama harga dengan pesaing terdekat dalam kategori sportbike aras mula seperti Yamaha R15. Cuma tiada jaminan ia akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia atau tidak.
Kalau masuk pun, ada yang berminat nak beli ke? Tanya je...
SUMBER: Info.XCar.com
Timun Kecut says
klau betul masuk aku nk beli, bosan dah dgn jenama yamaha. nk plak merasa motor buatan itali.
#wapalewheels says
ada nama ada gaya adalah pembeli
Amos Lim says
Kalau harga 12k dan masuk tahun ni, confirm beli
Naz says
Boleh la bersaing dgn R15 .tu pon kalau masuk la
Darth Vyro says
buatan italy? jenama italy tpi buatan china der.
Wak says
Kalau laju mcm RS125 ak beli hahaha