HAMPIR dua tahun di pasaran, model naked retro moden 150cc, Honda CB150R kini mendapat facelift terbaharu yang didatangkan dalam versi Streetster dan rasmi diperkenalkan di Thailand.
Perbezaan ketara ialah warna dan strip dikenakan. Berbanding model asal yang menggunakan satu warna badan saja tanpa hiasan strip grafik, versi 2019 ini menggunakan warna asas yang dipadankan jalura ala motosikal lumba vintaj. Menyerlahkan lagi imej perlumbaan ialah hiasan angka '150' besar pada sisi pelana belakang, dan kaliper brek jenis radial daripada Nissin (kekal daripada model sebelumnya) yang kini dilayangkan warna merah.
BACA >>> Honda CB150R ExMotion - Motosikal Neo-Retro 150cc Pertama Honda Dilancarkan di Thailand
Dari segi mekanikal pula, tiada apa yang diusik - dan sememangnya tidak diperlukan.
Sejak awal lagi, CB150R sudah menerima teknologi yang diidamkan ramai pemilik jentera 150cc. Ini termasuk konfigurasi DOHC dengan suntikan bahan api, meter digital penuh dengan indikator anjakan gear (shift light), fork depan terbalik (USD), brek radial, ABS, dan swingarm pisang (banana). Semua ciri diberikan agak mewah untuk sebuah motosikal aras mula 150cc.
Menariknya, harga ditawarkan CB150R versi baharu ini masih sama dengan model lama, ฿99,800 (RM12,828) untuk versi tanpa ABS, dan ฿109,800 (RM14,114) versi ABS.
Sayang sekali, tiada sebarang khabar mengenai pelancaran model CB150R facelift ini di Malaysia. Kepada anda yang berminat dengan jentera aras mula Honda dengan gaya naked sebegini, pilihan terdekat yang kami boleh cadangkan ialah Honda CB 250R. Semestinya lebih berkuasa dan lebih belanja.
GALERI
SUMBER: GreatBikerThailand
Yazeed says
Bila agaknya model honda ni akan masuk pasaran malaysia?
Boleh bersaing dengan model yamaha MT15