BERMAZ Motor Sdn Bhd, pengedar rasmi Mazda Malaysia mengorak langkah agresif menerusi pembukaan kilang pemasangan tempatan (CKD) baharu di kilang Inokom Corporation, Kulim, Kedah. Menelan pelaburan sebanyak RM100 juta, pembukaan kilang itu dijangka mampu memasang dan mengeluarkan hingga 20,000 kenderaan Mazda setahun secara berperingkat.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Eksekutif Mazda Motor Company, Masatoshi Maruyama dan Pengarah urusan Inokom, Rizal Jailan. Turut hadir pada majlis sama ialah Presiden Mazda Malaysia, Shini Sakatani, Pengerusi Inokom, Datuk Kalsom Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif Prima Merdu, Datuk Amer Hamzah Ahmed.
LEBAR SAYAP
Mula menjalinkan kerjasama bersama Inokom dengan memasang model Mazda3 pada 2011, kilang baharu itu, yang dibina atas tapak berkeluasan 6,000 meter persegi, kini menumpukan perhatian ke atas model CX-5 yang mendapat sambutan hangat.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ben Yoh berkata, pihaknya yakin pembinaan kilang baharu ini mampu mengurangkan tempoh menunggu pelanggan sedia ada bagi model CX-5.
"Selain pasaran tempatan, kami turut mengimport model CX-5 ke Thailand. Demi menjamin kualiti pemasangan setaraf dengan model diimport sepenuhnya (CBU), pembinaan kilang baharu ini adalah mengikuti sepesifikasi Mazda Motor Corporation di Jepun.
"Kami lebih mementingkan aspek kualiti berbanding kuantiti. Apa gunanya kalau dapat keluar kenderaan banyak kalau kualiti tidak bagus," katanya.
Mazda bakal mengeluarkan model CKD Mazda3 dan Mazda6 tidak lama lagi. Mazda CX-5 dibina berasaskan tema rekaan KODO - Soul of Motion yang diinspirasikan model konsep Shinari dan Takeri bersama gabungan teknologi SKYACTIV. Hasil gabungan itu berjaya mencetuskan emosi dan keseronokan memandu hingga meneruskan kesinambungan teknologi pada model Mazda6 dan Mazda3.
Leave a Reply