"MOTOR ni jimat minyak ke tak?" Ini persoalan yang sering ditanya penunggang ketika mahu membeli motosikal, termasuk pembeli kenderaan lain juga. Tetapi ada satu lagi soalan tambahan yang kerap ditanya, berapa top speed boleh pergi? Maklumlah, sudah terbiasa, tetapi laju mana sangatlah yang boleh dipecut.
Soalan top speed itu pula bertentangan dengan niat mahu cari motor yang jimat minyak. Faktanya, motor yang laju itu perlu diperah terotel minyak sehabis- habisnya.
Walaupun pengeluar ada mencatatkan rekod penggunaan bahan api untuk produk masing-masing menerusi ujian standard, tetapi itu bukan angka sebenar yang dicapai penunggang di jalan raya. Segalanya tetap bergantung kepada cara pengendalian penunggang itu sendiri.
BACA >>> Mat Motor Ini Beri Alasan Ekzos Bising Sebab Nak Jimat Minyak, Tapi Tetap Kena Saman
Bagaimanapun, masih ada cara yang boleh diikuti jika mahu mencapai tahap penggunaan bahan api lebih baik. Kami kongsikan lima tip atau petua bagaimana mahu menjimatkan petrol motosikal anda. Kalau sudah namanya petua, mujarab atau tidak bergantung kepada diri sendiri. Selamat mencuba geng!
1. PULAS TEROTEL DENGAN SOPAN
Memulas terotel secara keras, atau menunggang agresif mungkin menjimatkan masa di dunia nyata, tetapi tabiat ini menyumbang kepada hirupan petrol yang cepat. Input terotel agresif akan meningkatkan bebanan enjin dan penggunaan bahan api. Sebaliknya, memulas terotel dengan lancar, lembut dan progresif memberikan lebih perbatuan.
2. GUNA POSISI GEAR BETUL KETIKA PECUT
Setiap enjin ada poin terbaik dalam julat rev, dinamakan band tork @ julat tork. Apabila motosikal kekal dalam band tork itu, ia menyumbang kepada penggunaan petrol minimum dan respons enjin lebih baik. Selain itu, pengendalian sederhana juga membantu meningkatkan ekonomi bahan api.
BACA>>>5 Tip Jimat Minyak Khas Buat Penunggang Motosikal Kuasa Tinggi
Cuba tukar gear lebih pendek dan kekalkan julat rev semanis mungkin. Motosikal moden hari ini didatangkan dengan indikator 'eco' (ekonomi) berwarna hijau pada meter kelajuan. Ini boleh dijadikan penanda aras kepada anda.
Ada mitos popular mencadangkan anda berada dalam gear paling tinggi setiap masa. Ada betul juga, perlu untuk anda tidak kekal lama dalam julat rev rendah kerana boleh menyebabkan enjin mengalami knocking, sekali gus lebih banyak petrol dihirup. Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan, tidaklah sampai hendak naik bukit pun masih dalam gear atas.
3. KEKALKAN TEKANAN ANGIN TAYAR
Periksa tekanan angin tayar motor anda sekali seminggu. Ini mungkin nampak remeh, tetapi tekanan angin tayar rendah boleh menjejaskan kecekapan bahan api. Tekanan angin rendah akan memberi tekanan ke atas tayar, sekali gus membebankan enjin.
Walaupun tekanan angin lebih tinggi dilihat sebagai cara terbaik mengurangkan sentuhan tayar dan jalan, serta meningkatkan kecekapan minyak, tetapi pengendalian akan jadi bumpy atau melantun-lantun, dan kurang cengkaman.
4. TUNGGANG DENGAN CERMAT, BERHEMAH
Mengubah cara pengendalian juga memberi kesan kepada penggunaan minyak. Kurangkan membrek seboleh mungkin, tetapi jangalah sampai tidak guna brek langsung. Anda dinasihatkan melihat ke depan dan cuba sesuaikan kelajuan motosikal dengan melepaskan terotel mengikut situasi lalu lintas. Ketika menyelit, cuba kekalkan momentum terotel dan elakkan tabiat suka membrek dan memecut keras yang tidak ubah seperti kerbau sondol.
BACA >>> Castrol Lancar Minyak Enjin Motosikal Castrol POWER1 Serba Baharu
Di lampu isyarat, matikan enjin jika perlu menunggu lebih 30 saat. Ramai tidak tahu tabiat merehatkan kaki pada tuil brek belakang akan menyebabkan brek beroperasi. Walaupun daya brek tidak menyebabkan prestasi ketara, tetapi beri kesan pada penggunaan bahan api.
5. BUAT SERVIS BERKALA
Selain sentiasa mematuhi servis berkala ditetapkan, penting untuk penunggang menjaga beberapa perkara lain. Sentiasa pastikan palam pencucuh dalam keadaan bersih dan tidak lupa meminyakkan rantai mengikut selang servis. Rantai yang terbuka perlu kerap disapu minyak setiap 500km, berbanding yang berpenutup.
Bagi motosikal jenis suntikan bahan api (fi), pastikan injektor dibersihkan atau digantikan pada setiap selang servis seperti saranan pengeluar. Pastikan juga penapis udara bersih, kerana tunggangan berterusan dalam persekitaran bandar dan kawasan berdebu boleh menyebabkan komponen itu mengumpul sisa kotoran.
BACA >>> #TahukahAnda: Benarkah Minyak Brek Boleh Berubah Jadi Teruk?
Penapis udara tersumbat akan mengurangkan tahap kecekapan bahan api selain boleh menyebabkan enjin sebu atau mati mengejut. Motosikal jenis skuter perlu diganti penapis udara lebih kerap berbanding motosikal biasa. Sila rujuk manual bagi memastikan ia diganti tepat pada masa.
Leave a Reply