TOYOTA GR Supra (2020) siri pertama 'Global #1' dijual dalam lelongan kebajikan dengan nilai AS$2.1 juta (RM8.6 juta) pada acara Lelongan Tahunan Barret-Jackson ke-48 di WestWorld of Scottsdale, Amerika Syarikat (AS). Wang hasil lelongan itu akan disumbangkan kepada Persatuan Jantung Amerika (AHA) dan Yayasan Bob Woodruf (BMF).
Toyota Supra (2020) baru saja melakukan debut antarabangsa pada 14 Januari lalu sempena Pameran Auto Detroit 2019. Lelongan amal Barret-Jacksoni tu dilihat sebagai simbolik kepada kejayaan Toyota menghidupkan semula model legenda jenama itu selepas 20 tahun yang dianggap sebagai impian jadi kenyataan.
BACA >>> Toyota Supra (2020) Akhirnya Debut di Detroit, Lihat 71 Foto Menarik
NO VIN GLOBAL #1
Tiada Supra lain seperti model ini, 'Global #1' ialah satu-satunya VIN (nombor pengenalan kenderaan) yang akan berakhir pada 20201 - dengan '2020' mewakili tahun Supra diperkenalkan semula kepada dunia, manakala tanda '1' bermaksud itu ialah model Supra (2020) pertama dikeluarkan daripada barisan pengeluaran Toyota.
Rupa luaran dicatkan warna kelabu kusam dengan penutup cermin sisi merah dan rim hitam kusam, manakala merah menjadi tema ruang kabin dengan kemasan gentian karbon yang mewakili edisi pertama dilancarkan di pasaran AS.
"Ini satu penghormatan apabila Bob Carter (Naib Presiden Jualan Toyota Amerika Utara) dan pasukan Toyota menyertai kami dalam jualan bersejarah bagi pengeluaran pertama Supra 2020," kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Barret-Jackson, Craig Jackson.
"Keterujaan luar biasa ini dirasai semua orang. Ini detik yang dibuat selama 20 tahun pembikinan. Paling penting, kami sangat teruja dapat menyertai Toyota dalam usaha mengumpul dana untuk melawan penyakit jantung dan strok, juga sokongan kepada veteran militari negara," katanya lagi.
HASIL LELONGAN UNTUK KEBAJIKAN
AHA ialah organisasi sukarela tertua dan terbesar di AS yang didedikasikan untuk pesakit jantung dan strok, manakala BWF ialah program dana yang memberikan manfaat kepada veteran tentera dan keluarga mereka yang terjejas akibat krisis perang pasca 9/11.
BACA >>> Enjin V12 Ferrari FF Akan Dilelong, Dipercayai Jadi Prototaip Ujian Kilang
Selain memiliki kereta idaman, pembida yang memenangi Supra '#Global1' juga berpeluang menikmati akses penuh untuk memandu atas trek lumba, termasuk sut lumba profesional kustom, dua pas VIP ke acara lumba Toyota Owners 400 di litar Richmond Raceway, Virginia, AS dan peluang memandu 'kereta keselamatan' dan memandu bersama bekas pelumba profesional AS, Michael Waltrip.
Leave a Reply